KUALA LUMPUR - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi tampil menegaskan tidak mengambil sesen pun wang rakyat ke dalam poketnya.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, dia dituduh menyalah guna kuasa Perdana Menteri untuk melantik kontraktor-kontraktor bumiputera bagi projek Jana Wibawa.
Ahli Parlimen Pagoh itu menafikan tuduhan itu kerana tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meluluskan projek-projek tersebut.
"Saya juga dituduh menyalah gunakan kuasa untuk meluluskan Rayuan Pembatalan Pengecualian Cukai oleh Yayasan Al-Bukhary yang dinaungi oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
"Saya nafikan dakwaan ini. Kelulusan rayuan pengecualian cukai ini dibuat oleh Kementerian Kewangan dan saya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meluluskannya.
Muhyiddin menegaskan, pertuduhan ke atasnya dibuat di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 iaitu berkenaan tohmahan salah guna kuasa.
Tegas beliau, dia tidak didakwa atas kesalahan menerima rasuah bagi dirinya.
Ini kerana katanya, setelah siasatan dibuat, didapati tidak ada satu sen pun wang rakyat masuk ke poketnya sepanjang menjadi Perdana Menteri.
"Kini terbukti tuduhan itu adalah satu fitnah jahat yang direka semata-mata untuk mencemarkan imej saya, keluarga saya dan parti saya.
"Oleh kerana saya tidak menerima rasuah, mereka mencipta kesalahan lain untuk mengesahkan dakwaan Presiden UMNO bahawa akan wujud Kluster Mahkamah baharu dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN).
"Dia ingin menyamakan saya dengan dirinya, namun ia tentu sama sekali berbeza. Dia dituduh menggunakan wang yayasan untuk kegunaan diri sendiri," katanya.