MELAKA - Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat, atas tuduhan menerima suapan berjumlah RM1,400 daripada sebuah syarikat pengangkutan.
Bagaimanapun, Che Fazdlie Izwan Che Johari, 36, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan kesemua pertuduhan, tertuduh yang merupakan Pegawai Pemeriksa Kereta Motor Gred AB29 di JPJ Melaka didakwa menerima wang berjumlah RM1,400 tanpa balasan daripada seorang pengurus syarikat sebagai dorongan untuk melindungi dan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori syarikat berkenaan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Batu Berendam di sini, pada 6 Februari dan 3 Jun 2020.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat yang kemudian mencadangkan jaminan sebanyak RM1,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan.
Sementara itu, peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh yang mewakili tertuduh merayu jaminan dikurangkan kerana anak guamnya telah membayar jaminan sebanyak RM12,000 terhadap lapan pertuduhan lain yang dihadapkan pada bulan lalu.
Selain itu katanya, anak guamnya juga digantung kerja dan perlu menyara keluarga.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan syarat tambahan dikemukakan pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 10 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.