KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Johor, Pahang dan Melaka beransur pulih dengan jumlah penduduk dipindahkan di ketiga-tiga negeri menunjukkan pengurangan setakat 2 petang ini.
Di JOHOR, jumlah mangsa yang direkodkan sedikit menurun daripada 45,218 orang pagi tadi kepada 44,934 petang ini, susulan penutupan pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kahang Batu 28, Kluang.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan memaklumkan, perkembangan itu menjadikan 173 PPS masih beroperasi di enam daerah setakat ini dengan Batu Pahat merupakan daerah paling teruk terjejas melibatkan 38,135 penduduk.
Ia diikuti Muar 3,432 penduduk dan Tangkak 2,073, Segamat (1,019 ), Mersing (219) dan Kluang (56).
Sementara itu tujuh sungai di negeri itu masih melepasi aras bahaya, antaranya, Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok (Batu Pahat) yang kini berada pada paras 19.8 meter (m); Sungai Muar di Bukit Kepong (Muar) dengan bacaan 4.59m dan Sungai Bekok di Bandar Yong Peng (Batu Pahat) dengan bacaan 2.93m.
Cuaca diramalkan hujan di enam daerah petang ini, kecuali Muar, Segamat, Batu Pahat dan Tangkak yang dijangka cerah.
Di PAHANG, Sekretariat JPBN melaporkan keadaan banjir di Rompin semakin pulih petang ini dengan hanya 677 mangsa masih ditempatkan di lima PPS, berbanding 1,804 di 12 PPS pagi tadi.
Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan Sungai Keratong di Rompin petang ini melepasi paras amaran, berbanding pagi tadi melebihi paras bahaya.
Sementara itu, di MELAKA, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir di Jasin terus berkurangan kepada 442 orang daripada 116 keluarga di lima PPS, setakat 2 petang tadi. - Bernama