Nelayan terharu impian miliki rumah tercapai

Iklan
Syahrol Fitri (kanan) menerima replika kunci rumah melalui Skim Inapan Kasih ZPP.

BAYAN LEPAS - Seorang nelayan memanjatkan kesyukuran apabila berjaya memiliki rumah sendiri setelah sekian lama hanya menyewa di Sungai Tiram di sini bersama keluarga tersayang.

Syahrol Fitri Abd Hamid, 42, berkata, dia dan keluarga amat gembira kerana kini boleh tinggal bersama ibu bapanya di rumah baharu yang diterima melalui Skim Inapan Kasih Zakat Pulau Pinang di Teluk Kumbar.

Iklan
Iklan

Menurut bapa kepada tiga cahaya mata itu, impian untuk memiliki rumah sendiri tercapai apabila Zakat Pulau Pinang (ZPP) memberi rumah tiga bilik dengan rekaan menarik kepada keluarganya.

"Tak mampu saya nak luahkan perasaan saya, hanya terima kasih kepada pemberi zakat di Pulau Pinang dan ZPP kerana memberi rumah yang selesa ini kepada kami.

Iklan

"Selepas ini, saya boleh bawa ibu bapa tinggal bersama. Sebelum ini, ibu bapa tinggal di seberang, saya dan isteri serta anak-anak tinggal di kawasan pulau. Jadi, susah untuk kami pantau keadaan ibu bapa yang sudah tua," katanya.

Syahrol Fitri ditemui ketika Majlis Penyerahan Kunci Rumah Skim Inapan Kasih Daerah Barat Daya 2023 yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz.

Iklan
Syahrol Fitri (empat dari kiri) menerima replika kunci rumah daripada Azrul Mahathir (lima dari kiri) yang disampaikan pada Khamis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) ZPP, Mohamad Kairi Ghazalli berkata, Skim Inapan Kasih merupakan salah satu bantuan penting di dalam skim agihan ZPP.

Katanya, ia meliputi skim baik pulih rumah dan skim bina rumah bagi asnaf fakir dan miskin di Pulau Pinang.

"Rumah di bawah Skim Inapan Zakat ZPP yang diberikan kepada Syahrol Fitri telah dibina dengan rekaan baharu yang lebih moden berkeluasan 672 kaki persegi. Keluarga ini merupakan yang pertama menerima rumah Inapan Kasih ZPP berharga RM67,200.

"Maklumat mengenai permohonan keluarga ini untuk mendapatkan sebuah rumah disalurkan sendiri oleh Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Norlela Ariffin dan Azrul Mahathir melalui Mesyuarat Pembasmian Kemiskinan Daerah Barat Daya," katanya.

Beliau menambah, sebanyak RM3.05 juta telah diagihkan dana zakat menerusi Skim Inapan Kasih ZPP pada tahun lalu yang merangkumi 22 buah unit rumah telah dibina dan 82 buah unit rumah telah dibaik pulih.

Ujarnya, selain daripada mengagihkan dana bantuan zakat menerusi pelaksanaan projek bina rumah dan baik pulih rumah asnaf, ZPP juga menjalinkan kerjasama strategik bagi menjayakan hasrat pemilikan rumah yang kondusif kepada golongan asnaf memerlukan.