IPOH - Kerajaan Perak bersedia memberikan rumah secara percuma kepada golongan miskin sasar dan miskin tegar di bawah Rancangan Perumahan Tersusun (RPT).
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, Paul Yong Choo Kiong berkata, inisiatif menerusi Pelaksanaan Dasar Perumahan Negeri Perak (DPNP) 2019 itu dibuat selepas mengambil kira keupayaan golongan berkenaan yang tidak mampu memiliki kediaman sendiri meskipun harga rumah di bawah RM70,000.
"Selepas dasar (DPNP) baru ini dilaksanakan, RPT akan kita bangunkan sekali dengan rumah dan sekiranya peserta yang berminat itu memang dari golongan miskin sasar dan tegar, kita akan minta Majlis Daerah beri secara percuma.
"Ini satu pendekatan kerajaan yang prihatin kepada rakyat terutama miskin tegar," katanya menjawab soalan tambahan dikemukakan Razman Zakaria (Gunung Semanggol-Pas) pada Persidangan DUN Perak, hari ini.
Beliau berkata, di bawah dasar perumahan baru itu, fokus utama kerajaan adalah menyasarkan pembangunan rumah kos rendah dan sederhana di bawah harga RM140,000 dan RM70,000 untuk golongan M40 dan B40.
Bagaimanapun katanya, pihak kerajaan sedar masih terdapat golongan tertentu iaitu miskin sasar dan miskin tegar tidak mampu memiliki rumah walaupun rumah kos rendah dibina di bawah RM70,000.
Menjawab soalan Terrence Naidu (Pasir Bedamar-DAP), Paul Yong berkata, pihaknya bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah pun mengenal pasti tapak-tapak berpotensi di negeri ini untuk dibangunkan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
"Antara projek PPR sedang dijalankan adalah di Kampung Chin, Lenggong dan Bagan Datuk," katanya.
Di Teluk Intan katanya, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) sedang membangunkan perumahan kos rendah sebanyak 28 unit berharga RM70,000 di Kampung Dato’ Nazri dan 109 unit rumah kos sederhana berharga RM95,000.00 di Changkat Jong.
Pelaksanaan DPNP 2019 telah dikuatkuasakan pada 1 April lalu.