SHAH ALAM- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mengumumkan pelantikan Muhammad Faris Arriffin sebagai Pengurus Besar yang baharu berkuat kuasa 8 Mac lalu.
Nafas dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, pelantikan itu adalah seiring dengan harapan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam memacu Nafas sebagai institusi yang menerajui pergerakan Pertubuhan Peladang.
"Dengan kepimpinan yang pragmatik serta visi transformasi yang jelas, pelantikan Muhammad Faris sebagai Pengurus Besar Nafas yang baharu sangat dialu-alukan.
"Besarlah harapan seluruh warga Nafas agar beliau menerajui pertubuhan ini dengan komitmen yang sepenuhnya serta meletakkan Nafas pada paras yang lebih cemerlang, khususnya dalam usaha memartabatkan golongan petani dan peladang negara ini,” menurut kenyataan itu.
Muhammad Faris sebelum ini berkhidmat di Petronas, Halliburton dan Schlumberger dan membawa kombinasi dinamik kepakaran selama 15 tahun dalam kejuruteraan dan teknologi, pengurusan korporat serta pengalaman dalam bidang pembangunan perniagaan dan strategi pelaburan.
Beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Kejuruteraan Petroleum dari The University of Adelaide, Australia dan kini sedang menjalani pengajian secara jarak jauh dalam Ijazah Sarjana Kewangan di Harvard University, Amerika Syarikat.
"Membawa harapan kerajaan serta KPKM, adalah diharap Nafas yang diterajui beliau bersama barisan ahli jemaah pengarah serta kumpulan pengurusan Nafas akan menjadi pemangkin usaha pemodenan rantaian bekalan industri agromakanan dan menarik minat golongan belia untuk menceburi bidang pertanian melalui aplikasi teknologi dan digital.
"Nafas merupakan Pertubuhan Peladang di peringkat nasional yang dianggotai 14 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), 279 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dengan hampir 1 juta ahli peladang di seluruh negara.
"Struktur ini melengkapkan rangkaian tiga peringkat pertubuhan peladang serta membentuk masyarakat tani yang berdikari, makmur dan bersatu padu,” jelasnya.