KUALA LUMPUR - Perwakilan dijangka mendesak supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri diadakan segera pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2022 yang bermula pada Jumaat.
Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, walaupun perkara itu tidak berada dalam senarai usul, namun beliau percaya ia akan disentuh ramai pembahas pada perhimpunan tiga hari itu.
PRN akan melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.
Beliau berkata, usul yang akan dibahaskan pada perhimpunan itu melibatkan isu pendidikan, kesihatan, ekonomi dan agama.
Ahmad Faizal, dalam pada itu berkata, pendakwaan ke atas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di mahkamah tidak akan memecahbelahkan parti serta sokongan ahli kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.
Sabtu akan diadakan Perhimpunan Agung Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, Ahad ini. - Bernama