JOHOR BAHRU - Satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji pelbagai aspek sempena pelaksanaan Bazar Ramadan Rahmah termasuk menyelamatkan lebihan makanan dan minuman daripada dibuang.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, jawatankuasa khas itu juga akan meneliti berkenaan yuran direndahkan, tawaran Menu Rahmah serta kerjasama strategik menguruskan makanan tidak terjual.
"Kita akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat bagi menguruskan makanan tak terjual di bazar Ramadan untuk diagihkan kepada golongan kurang bernasib baik.
"Peranan NGO itu mengagihkan makanan tidak terjual kepada keluarga susah. Sebaik azan Maghrib, mereka akan mengedarkan juadah berbuka yang telah dikumpulkan.
"Kita mahu Bazar Ramadan Rahmah itu yang betul-betul rahmah, kita sasar menyediakan 50 Bazar Ramadan Rahmah di seluruh negara," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Fiesta Food Truck Rahmah Kasih Sayang di Angsana Mall di sini pada Jumaat.
Fiesta yang bermula pada Jumaat sehingga Ahad melibatkan 50 peniaga Food Truck yang menawarkan Menu Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggalakkan lebih ramai penganjur bazar Ramadan terlibat mengamalkan konsep Bazar Ramadan Rahmah.
Jelasnya, pelaksanaan Bazar Ramadan Rahmah itu bukan sahaja menjual Menu Rahmah sebaliknya memberi nilai tambah kepada peniaga serta golongan kurang berkemampuan.