SHAH ALAM - Tauliah mengajar bukan untuk menyusahkan agamawan menyampaikan dakwah sebaliknya sebagai langkah pencegahan memastikan kuliah disampaikan memenuhi maqasid syariah.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, tauliah diperlukan bagi memastikan Islam terus terpelihara dan terhindar daripada sebarang anasir penyebaran ajaran salah, fitnah memfitnah dan bersangka buruk yang boleh menimbulkan kesan negatif terhadap agama, masyarakat dan negara.
Titah baginda, hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan luas mengenai Islam boleh diberikan tauliah untuk mengajar atau ceramah di masjid serta surau di seluruh negeri Selangor.
Baginda yang berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menyeru umat Islam di negeri Selangor agar memahami dan menghayati intipati khutbah Jumaat bertajuk 'Tauliah Mengajar, Suatu Keperluan'.
Baginda juga senada dengan khatib yang menyeru semua pemegang tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mematuhi undang-undang, arahan serta larangan yang diberikan oleh pihak berkuasa agama.
"Mereka hendaklah menggunakan tauliah mengajar pada situasi yang betul, bukannya untuk kepentingan dan keuntungan peribadi.
"Tidak menyelitkan lawak jenaka yang melampau sehingga masyarakat hanya mengingati lawak berbanding ilmu yang disampaikan," titah baginda.
Pada masa sama, baginda turut berpesan pemegang tauliah tidak mencampur aduk isu agama dengan politik kepartian, menyelitkan perkara yang mendatangkan benci atau penghinaan terhadap mana-mana agama atau mana-mana kerajaan serta mengembangkan perasaan buruk sangka dan permusuhan antara kaum.
Di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 dan kuasa-kuasa yang diperuntukkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, baginda mempunyai kuasa untuk menitahkan agar tauliah terhadap mana-mana pihak ditarik balik atas sebab-sebab tertentu demi memelihara kesucian agama Islam dan mengelak perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam.
Justeru, baginda mengingatkan mereka yang ingin mengajar agama atau diundang untuk mengajar di masjid atau surau seluruh Selangor, memohon tauliah mengajar.
Mana-mana individu yang mengajar, cuba mengajar atau menyebabkan pengajaran agama Islam tanpa tauliah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016.