KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke sesi menghadap perpisahan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain di Istana Negara.
Menerusi catatan di Facebook Istana Negara, Seri Paduka selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jasa serta khidmat bakti Zamrose setelah 43 tahun berkhidmat bersama Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan penuh dedikasi dan cemerlang.