Kim Swee pantau status empat tonggak Sabah FC

Iklan
Kim Swee - Foto SABAH FC

EMPAT tonggak utama Sabah FC tidak dapat diturunkan pada perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang FC, di Stadium Darul Makmur pada Ahad ini.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee ketika mengesahkan perkara itu berkata, Telmo Castanheira, Gabriel Peres, Jailton Da Silva dan Darren Lok merupakan pemain yang mengalami kecederaan semasa menentang Kuching City FC, di Stadium Negeri, Isnin lalu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, dia tidak begitu bimbang kecederaan menimpa keempat-empat mereka kerana terdapat beberapa pemain lain yang bersedia untuk mengisi kekosongan sekali gus mampu memberikan persaingan hebat menjelang perlawanan nanti.

"Kita akan lihat perkembangan mereka ini. Jadi saya hanya dapat tentukan mereka dapat diturunkan ataupun tidak selepas latihan esok. Kita masih mempunyai lebih kurang 48 jam sebelum bertemu Sri Pahang.

Iklan

"Secara keseluruhannya, pemain-pemain lain berada dalam keadaan amat baik. Saya percaya kecergasan mereka dalam tahap yang cukup tinggi, di mana setiap pemain diturunkan tidak kira pada kesebelasan utama ataupun dimasukkan pada masa gantian mampu menunjukkan tahap kecergasan yang cukup bagus,” katanya.

Mengulas mengenai gandingan Saddil Ramdani dan Darren Lok, Kim Swee berkata, kedua-dua pemain ini bukan sahaja menunjukkan kombinasi yang baik tetapi berjaya mendapatkan gol serta bermain dengan begitu baik pada setiap perlawanan.

Iklan

"Kedua-dua mereka sangat serasi. Walaupun mereka ini baru digandingkan bersama-sama dalam beberapa perlawanan tetapi prestasi mereka cukup baik. Begitu juga dengan pemain-pemain lain juga dilihat sangat komited dengan menunjukkan satu prestasi yang cukup baik.

"Jadi saya harap agar semua pemain dapat mengekalkan rentak persembahan yang baik di samping mampu menunjukkan prestasi cemerlang mereka untuk perlawanan-perlawanan seterusnya,” katanya.