Kacip pinang kini bertukar fungsi

Iklan
Syazirah memegang kati tembaga berkepala burung yang kebanyakannya dibeli sebagai perhiasan. Gambar kecil: Kacip pinang atau kati berkepala burung.

KOTA BHARU - Mungkin tidak ramai generasi baharu mengenali kacip pinang atau lebih popular dengan nama 'kati' di negeri ini.

Suatu masa dahulu, kati sangat memainkan peranan untuk mengetip pinang yang dimakan bersama sirih selain menjadi peralatan wajib dalam tepak sirih.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, fungsi kati kini bukan sahaja berubah malah sukar mencari pembuatnya sehingga peniaga terpaksa membuat pesanan dari negara jiran, Thailand.

Peniaga peralatan besi di Pasar Siti Khadijah di sini, Faridah Mohd Noor, 55, berkata, tidak ramai membeli kati mungkin disebabkan kurangnya individu yang memakan sirih.

Iklan

"Ada juga pembelinya tetapi saya dimaklumkan untuk memotong gula melaka yang dijadikan inti kuih onde-onde," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Faridah berkata, pelanggannya turut berkongsi, bentuk dan tekstur gula melaka lebih mudah dipotong menggunakan kati bagi mengelakkan melekit pada tangan.

Iklan

Tambahnya, kini sukar mencari pembuat kati kerana ramai yang sudah 'menggantung' peralatan membuatnya berikutan kurang mendapat sambutan.

Faridah menunjukkan kati yang dijual di kedainya di Pasar Siti Khadijah.

"Kami terpaksa membeli produk ini dari Thailand kerana masih ada yang meminatinya sebagai hiasan atau mungkin fungsi lain," katanya.

Faridah juga berpendapat, jika sebelum ini kati menjadi pelengkap sirih junjung di atas dulang hantaran tetapi kini banyak inovasi dilakukan termasuk sirih tiruan.

"Ramai yang memilih set sirih junjung tiruan sekali gus kati 'kurang laku' dan adat membawa sirih junjung juga semakin ditinggalkan," katanya.

Bagaimanapun jelasnya, kati masih dibeli oleh pelancong untuk tujuan dijadikan perhiasan dan kenangan masa silam mereka.

Faridah yang lebih 10 tahun berniaga di pasar itu menjual kati pada harga antara RM15 hingga RM20 mengikut saiz.

Seorang lagi peniaga, Syazirah Paudi, 19, turut mengakui, kati kini tidak lagi popular dalam kalangan generasi baharu.

"Kami sukar mendapat bekalan di sini (Kelantan) mungkin kerana ramai pembuatnya kecewa berikutan tidak mendapat sambutan," katanya.

Syazirah yang turut menjual kati tembaga berkepala burung berkata, peminat barangan lama masih mencarinya walaupun harga lebih tinggi iaitu RM38.

"Kati kini lebih berfungsi sebagai perhiasan dalam rumah dan premis tertentu selain mengenang nostalgia silam sesetengah individu," katanya.