KELAB gergasi Serie A, Inter Milan tewas mengejut kepada pasukan bawahan Spezia 1-2 menerusi gol penghujung perlawanan awal pagi Sabtu.
Kekalahan itu meninggalkan Inter dengan pendahulu, Napoli 15 mata ketika aksi liga berbaki 14 perlawanan.
Dalam aksi itu, Spezia memperoleh gol hasil sentuhan Daniel Maldini dan sepakan penalti M'Bala Nzola untuk menewaskan Inter buat kali pertama dalam sejarah.
Jaringan penyamaan Romelu Lukaku menerusi sepakan penalti pada minit ke-83 tidak bermakna buat Inter yang dibimbing Simone Inzaghi.
"Dalam bola sepak tiada diskaun dan anda terpaksa membayar jika melakukan kesilapan. Tidak betul apabila Inter kalah di Spezia," ujar Inzaghi.
Menurutnya, para pemain sudah memberikan yang terbaik, namun nasib tidak menyebelahi mereka.
"Kami tidak tidur malam ini. Saya mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan ini kerana pemain sudah memberikan segala-galanya. Kami tidak cukup tajam.
"Ini adalah bola sepak, kekalahan akan membuatkan anda lebih gagah. Kami banyak mengalaminya musim ini terutama di tempat lawan dan secara semula jadi, keputusan begitu tidak memuaskan hati," katanya.