PELUMBA Honda Yuzy Estremo Team, Shahrol Shazras Shahrol Yuzy bersedia menyahut cabaran yang menanti pada Pusingan Kedua Kejuaraan Petronas Malaysian Cub Prix di Dataran Seri Jempol, Jempol Negeri Sembilan selepas bermula cemerlang di Litar Sepang Antarabangsa pada Februari lalu.
Jelasnya pelumba Kategori CP150 itu, jentera Honda RSX mempunyai kelebihan di litar besar ditambah lagi dengan persediaan setup yang baik daripada pasukan.
"Litar Jempol adalah agak teknikal dan ini hanyalah tahun kedua bagi saya di litar tersebut di Kategori CP150.
"Sudah pasti ia lebih mencabar tetapi saya akan cuba meningkatkan prestasi selangkah demi selangkah. Persiapan adalah seperti biasa dengan lebihkan fokus terhadap kecergasan fizikal dan mental.
"Pasukan kami juga seperti biasa akan membuat pemeriksaan jentera dan ubahsuai untuk kegunaan pusingan seterusnya," katanya.
Pada masa sama Shahrol Shazras menyifatkan ayahnya Shahrol Yuzy sebagai sumber motivasinya untuk lebih berjaya dalam arena pemotoran.
"Ayah merupakan inspirasi saya, yang juga telah mencungkil minat di sukan pemotoran ini.
"Walaupun saya telah menyuarakan hasrat untuk berlumba pada umur 13 tahun, hasrat tersebut tidak diberikan galakan.
"Jadi, saya pujuk lagi dan akhirnya ayah telah memberikan kepercayaan ketika saya berumur 15 tahun.
"Kemenangan ini memberikan saya satu motivasi baharu untuk terus belajar sambil menikmati adrenalin perlumbaan," kata Shahrol Syazras.
Musim ke-30 akhirnya membuahkan hasil bagi Shahrol Syazras apabila tampil dengan strategi yang mantap di lap terakhir.
Shahrol Syazras mempamerkan teknik yang hebat apabila peluang terbuka membolehkannya mengambil kesempatan untuk memintas dan memecut ke garisan penamat.
Shahrol Syazras sebelum ini mula beraksi di sukan pemotoran pada 2017 dalam Kategori Wira KBS sebelum ke kategori CP125 pada 2018 diikuti Kategori CP150 pada 2020.
Biarpun mulanya, dia berdepan cabaran seperti pelumba-pelumba baharu di kategori itu, Shahrol Syazras tenang mempelajari selok-belok berlumba dan menampilkan peningkatan prestasi dari semasa ke semasa.