KUALA LUMPUR - Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengumumkan tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya ketika ini pada pemilihan akan datang.
Jelas Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang itu, keputusan tersebut diambil susulan beliau telah melebihi umur yang sah untuk menerajui sayap parti itu.
Iklan
Iklan
"Jadi saya akan wariskan Armada kepada perwakilan untuk teruskan pertempuran akan datang," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Armada di sini pada Sabtu.
Tambahnya, pemilihan parti yang dijadual berlangsung pada Oktober depan akan menentukan calon yang akan menggantikan tempatnya nanti.
Wan Ahmad Fayhsal dipilih sebagai Ketua Armada dalam pemilihan parti itu pada Ogos 2020 lalu.
Beliau pada ketika itu menewaskan pesaing tunggalnya, Muzzammil Ismail yang merupakan Exco Armada.