Cagar wang KWSP, bertentangan janji Anwar - Armada

Iklan
Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal ketika menghadiri sindang akhbar pada Perhimpunan Agong tahunan Armada di sini pada sabtu. FOTO SINAR HARIAN / Rafeq Redzuan

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didesak supaya mencari penyelesaian lebih ampuh untuk membantu rakyat berbanding memberi cadangan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan simpanan sebagai cagaran membuat pinjaman bank.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, cadangan tersebut juga jauh 'tersasar' daripada kenyataan Ahli Parlimen Tambun itu ketika menjadi pembangkang sebelum ini.

"Bila rakyat minta pengeluaran KWSP bersasar, apa jawapan Menteri Kewangan? Dia suruh cagar pula simpanan kita kepada bank.

Iklan
Iklan

"Dulu dia yang kata banker jaga banker. (Sedangkan) dulu kita yang cabar bank hapuskan hutang dan sebagainya," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Armada di sini pada Sabtu.

Tambah Wan Ahmad Fayhsal, melihat akan kesusahan yang dihadapi rakyat ketika ini, adalah wajar untuk kerajaan mempertimbangkan pengeluaran KWSP bersasar.

Iklan

"Rakyat tengah susah (jadi) bagi pengeluaran (KWSP) yang bersasar," katanya.

Semasa sesi penggulungan usul Belanjawan 2023 Peringkat Dasar pada Khamis, Anwar memaklumkan kerajaan akan memperkenalkan kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.

Iklan

Jelasnya, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang ‘terdesak’ untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pihaknya menyifatkan kaedah KWSP memberikan ruang kepada pencarum yang mempunyai wang dan dalam keadaan terdesak pinjam dari bank, dengan jaminan cagaran bank, adalah yang terbaik.