PADANG TERAP - UMNO akan akur apa jua bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperuntukkan kepada mereka dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah bersama Pakatan Harapan (PH).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, parti semestinya memiliki sasaran dan sudah mengenal pasti kawasan-kawasan yang akan ditandingi, namun mereka tetap akan menunggu keputusan akhir oleh Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang bermesyuarat 19 Mac ini.
"Kita telah beberapa kali mengadakan mesyuarat di peringkat UMNO sendiri dan mesyuarat dengan Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri serta pertemuan tidak rasmi dengan pemimpin-pemimpin daripada PH termasuk berjumpa wakil-wakil rakyat mereka dua minggu lalu," katanya pada sidang media selepas meninjau Mesyuarat Sayap-Sayap UMNO Bahagian Padang Terap di sini pada Sabtu.
Menurutnya, walaupun belum mencapai keputusan rasmi, namun parti telah mempunyai sasaran kerusi dan mengenal pasti beberapa kerusi untuk memudahkan perbincangan nanti.
"Kita ada angka kerusi yang akan ditandingi tetapi biarlah jawatankuasa di peringkat nasional putuskan dan kita akan akur berapa kerusi UMNO-BN bertanding dan berapa pula PH bertanding," katanya.
Mahdzir berkata, pemilihan UMNO di peringkat sayap parti yang bermula pagi Sabtu di seluruh negara berjalan lancar dan perwakilan mematuhi peraturan ditetapkan jawatankuasa pemilihan.
"Proses undian sedang berjalan dan dijangkakan bagi pemilihan yang bermula pada sebelah pagi akan diketahui lewat petang keputusannya sebelum barisan kepimpinan baharu 2023-2026 diketahui malam nanti," katanya.
Dalam masa yang sama, Mahdzir yang juga bekas Ahli Parlimen Padang Terap menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO bahagian berkenaan.
Ketika ditanya peluang untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden, beliau menyerahkan kepada para perwakilan di bahagian-bahagian seluruh negara untuk menentukan tiga pemimpin yang akan mengisi jawatan itu.
"Saya fikir para perwakilan pimpinan bahagian mempunyai justifikasi apabila mereka buat keputusan berkaitan siapa yang patut diberi peluang berkhidmat sebagai Naib Presiden dan saya yakin mereka juga tidak menolak saya," katanya.