Pemilihan UMNO: Mahu ubah wajah Kuala Kedah

Iklan
Abdul Muthalib

ALOR SETAR - UMNO akan berusaha mengubah wajah Kuala Kedah sebagai perkampungan nelayan kepada pelabuhan mini setempat dan pelancongan agromarin.

Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah selama tiga penggal, Datuk Abdul Muthalib Harun berkata, usaha itu akan dapat dilaksanakan sekiranya Parlimen Kuala Kedah diterajui UMNO semula.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Kuala Kedah bukan lagi milik UMNO sejak empat penggal selepas ditawan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan terbaharu menjadi milik Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

"Imej dan wajah Kuala Kedah sebagai pintu masuk utama ke Langkawi perlu diubah. Sudah beberapa kali perancangan menaik taraf terminal jeti tertangguh dalam tempoh itu.

Iklan

"Untuk laksanakan perancangan itu, UMNO harus ke depan menerusi penyusunan semula biro dalam UMNO Bahagian dan berperanan sebagai akses masyarakat mendapatkan perkhidmatan,” katanya ketika ditemui meninjau mesyuarat perwakilan Puteri dan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kedah pada Sabtu.

Abdul Muthalib berdepan saingan empat penjuru merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, yang turut dicabar oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Dr Zaki Zamani Abdul Rashid, selain Zainal Alam Bakar dan Mohd Zamil Zubir.

Iklan

Menurutnya, untuk mengubah imej Kuala Kedah, lapan perkara menjadi keutamaan, antaranya membina semula keupayaan UMNO Kuala Kedah secara profesional, mengukuhkan semangat juang ahli serta mahu melihat Kuala Kedah bebas jenayah dan dadah.

"Saya juga mahu gilap potensi anak muda agar mengisi sektor ekonomi yang sesuai dengan bakat yang ada. Tumpuan harus diberikan dalam aspek pendidikan, perpaduan masyarakat, mengurangkan kemiskinan tegar, kebajikan, ekonomi pesawah, nelayan, operator pelancongan, kakitangan awam dan swasta di Kuala Kedah,” ujarnya.

Abdul Muthalib berkata, kesemua ahli dan pimpinan akar umbi akan digerakkan sebagai satu kesatuan bagi menjayakan khidmat sosial dan mengembalikan fungsi UMNO sebagai politik bakti.

"Gerak kerja harus dipertingkatkan selain kefahaman ahli tentang isu-isu semasa, kerana dalam PRU15 dan PRU14 lalu mereka terlalu emosional dengan isu nasional,” ujarnya.

Menurutnya, agenda lain termasuk mengembalikan kegemilangan Kuala Kedah yang melahirkan ramai pemimpin UMNO termasuk Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Kedah.

"Tokoh lain dari Kuala Kedah termasuk Allahyarham Tan Sri Senu Abdul Rahman selaku Setiausaha Agung UMNO pertama (1969) serta bekas Menteri Besar Kedah yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Allahyarham Datuk Seri Syed Razak Syed Zain,” ujarnya.

Abdul Muthalib berkata, pembangunan yang dilakukan pemimpin UMNO terdahulu memberi keselesaan kepada rakyat setempat namun politik khidmat bakti itu dilenyapkan oleh sentimen emosi sejak PRU 2014.

"Politik kesedaran akan diterapkan kepada penduduk, emosi tidak membawa kebaikan, sebaliknya merugikan. Biarpun begitu, khidmat bakti tetap diteruskan UMNO walaupun empat penggal tidak menjadi wakil rakyat di Kuala Kedah.

"Saya bersyukur kini rakyat mula beralih kepada UMNO, terutama selepas membentuk Kerajaan Perpaduan yang sedikit sebanyak mengubah persepsi,” katanya.

Menurutnya lagi, gabungan undi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) diyakini mampu melenyapkan tsunami Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 lalu.

"Ketika PH dan BN masing-masing mengikut haluan sendiri, undi diberikan kepada PN. Apabila kita bersama, kekuatan berganda itu diyakini mampu menarik balik sokongan rakyat,” tegasnya.