Tiada surat rasmi sahkan Mohamad Khir tak layak bertanding

Iklan
Megat Zulkarnain

GOMBAK - Dakwaan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo terlepas peluang bertanding Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar susulan berdepan tindakan disiplin belum dapat dipastikan.

Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat berhubung perkara tersebut.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, jika dakwaan tersebut benar, ia tertakluk kepada peraturan dan diserahkan kepada Lembaga Disiplin untuk membuat keputusan.

"Ia di luar pengetahuan saya. Saya ada terima maklumat Mohamad Khir menggunakan media massa untuk berkempen namun kita serahkan kepada Lembaga Disiplin.

Iklan

"Jika ada sebarang keputusan, saya pasti ia akan dimaklumkan kepada kami di peringkat perhubungan. Namun sehingga kini, kita tidak menerima sebarang (surat rasmi) keputusan mahupun aduan mengenainya," katanya ditemui pada Mesyuarat dan Pemilihan Perwakilan Wanita UMNO Gombak di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO) di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Datuk Seri Jamal Md Yunos menang tanpa bertanding Ketua Bahagian Sungai Besar bagi Pemilihan UMNO 2023-2026.

Iklan

Ia selepas pencabar, Mohamad Khir didakwa dikenakan tindakan disiplin seperti maklumat diterima menerusi mesej di WhatsApp sejak Jumaat.

Ditanya kesahihan sama ada Jamal menang tanpa bertanding, Megat Zulkarnain berkata, perkara tersebut masih tidak dapat dipastikan.

"Perkara ini masih di peringkat awal dan tiada sebarang pengumuman dibuat oleh lembaga disiplin jadi saya tidak boleh hendak mengesahkan," katanya.

Setakat ini, calon Ketua UMNO Bahagian Selangor yang telah disahkan menang tanpa bertanding ialah Datuk Johan Abd Aziz (Hulu Langat) dan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (Kota Raja).