SEREMBAN - Seorang bekas peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dakwaan pecah amanah berjumlah hampir RM199,000 pada September 2010.
Tertuduh, R Ledchumiah, 62, membuat pengakuan itu sebaik sahaja kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim, G Ramesh.
Iklan
Iklan
Berdasarkan pertuduhan, Ledchumiah yang ketika itu peguam bela dan peguam cara didakwa tidak membayar pampasan yang diamanahkan berjumlah RM198,592.50 kepada anak guamannya, Maimumah Lanjung, 63.
Tertuduh yang diwakili peguam, N Maniam didakwa melakukan pecah amanah dan menggunakan wang bagi kegunaan sendiri di Firma Guaman Tetuan Ramamoorthy Ledchumiah & Co, Seremban pada 3 September 2010.
Wang itu dibayar Kementerian Kewangan Malaysia yang sepatutnya dipindahkan kepada Maimunah sebagai pembayaran wang pampasan di bawah penghakiman Mahkamah Sesyen Seremban dengan nombor saman 53-166-200.
Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Ramesh kemudian menetapkan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Akmal Mohd Azri itu disebut semula pada 23 Mei ini selepas mengarah tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran pada Ahad minggu pertama setiap bulan.