PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Berpengalaman luas selama 31 tahun tentang budaya kerja dan keberkesanan organisasi dari perspektif dunia korporat mendorong Pengerusi Credit Guarantee Corporation Berhad Malaysia Berhad (CGC), Datuk Mohammed Hussein menghasilkan buku ‘Seeking A Life Balance’.
Menggunakan nama pena Elm Edge, anak kelahiran Kota Bharu itu menghasilkan buku berkenaan adalah untuk menyediakan naratif tentang kepentingan kritikal nilai dan teras dalam mencari keseimbangan hidup.
Mohamad Hussein yang juga Felo Institut Bank Bertauliah Asia berkata, ‘Seeking A Life Balance’ setebal 217 muka surat dihasilkan berasaskan etika kerja Islam pada ayat al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.
"Ini termasuk bagaimana untuk mengejar kehidupan kerja yang seimbang yang bukan sahaja akan menyumbang kepada kualiti kerja yang lebih baik, tetapi juga sebagai sebahagian daripada persiapan menuju akhirat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran buku berkenaan di Bangunan CGC Kelana Jaya di sini pada Sabtu.
"Buku ini ditulis bukan sahaja untuk memahami etika kerja Islam tetapi juga bagaimana fitrah kita untuk bekerja.
"Ini memberikan panduan tentang cara kita harus bekerja dan berinteraksi dengan orang lain untuk menjadi yang terbaik untuk diri dan komuniti kita,” katanya.
Alumni program pengurusan lanjutan, Harvard Business School itu berkata, apabila kerja dianggap ibadah ianya dijalankan mengikut garis panduan nilai teras Islam.
"Individu, organisasi dan komuniti boleh mendapat manfaat daripada kehidupan yang seimbang ini seperti yang dilakukan oleh dunia sejak zaman Kegemilangan Islam,” ujarnya
Untuk maklumat lanjut mengenai buku ini layari www.seekingalifebalance.com.