MRT laluan Putrajaya perkukuh pengangkutan awam negara

Iklan
Wakil media dibawa menaiki tren MRT dari stesen Putrajaya Sentral ke stesen Titiwangsa dalam sesi pratonton perjalanan laluan tren berkenaan. - Foto: Bernama

PUTRAJAYA - Sistem pengangkutan awam negara terus diperkukuh apabila perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya beroperasi sepenuhnya pada 16 Mac ini.

MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua melibatkan laluan dari Kampung Batu ke Putrajaya akan dibuka kepada pengguna bermula jam 3 petang selepas ia dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Iklan
Iklan

Sebelum ini, MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu melibatkan perjalanan dari Kwasa Damansara hingga Kampung Batu telah dibuka untuk pengguna pada 16 Jun tahun lepas.

MRT Laluan Putrajaya sepanjang 57.7 kilometer mempunyai 36 stesen terdiri daripada 27 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah dengan keseluruhan kos pembinaan sebanyak RM30.53 bilion.

Iklan

Tinjauan Bernama ketika sesi pengenalan MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua kepada pengamal media hari ini mendapati persiapan giat dijalankan oleh pegawai MRT Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) bagi memastikan pengoperasian berjalan lancar.

Pengamal media dibawa menaiki MRT Laluan Putrajaya bermula dari stesen Putrajaya Sentral ke stesen Titiwangsa untuk merasai sendiri perkhidmatan berkenaan.

Iklan

Difahamkan, setiap stesen di laluan itu mempunyai ciri-ciri tersendiri antaranya stesen Titiwangsa adalah bertemakan ‘tidal rythm’ dengan bahagian atas silingnya berwarna biru.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook sebelum ini dilapor berkata jumlah penumpang harian bagi perkhidmatan MRT laluan Putrajaya dijangka mampu mencecah kira-kira 200,000 dalam masa dua tahun.

Beliau berkata pengoperasian penuh MRT Putrajaya Fasa Dua juga akan memudahkan orang ramai dan pesakit Hospital Kuala Lumpur mendapatkan rawatan menerusi pembukaan stesen di hospital tersebut yang turut dilengkapi kemudahan laluan gerak atau walkalator sepanjang 400 meter. - Bernama