KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Dr Noraini Ahmad kini mendahului saingan pemilihan parti bagi jawatan Ketua Wanita UMNO.
Keputusan semasa setakat jam 6 petang itu, menyaksikan Ahli Parlimen Parit Sulong itu mendahului pencabarnya iaitu Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dalam saingan sayap parti berkenaan.
Selain itu, penyandang Naib Ketua Wanita UMNO, Norliza Abdul Rahim mendahului persaingan bagi merebut jawatan nombor dua sayap itu.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh pula mendahului tiga pencabar dalam saingan pemilihan parti bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO.
Anak kepada Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham kini mendahului tiga pencabar bagi jawatan Naib Ketua UMNO.
Sementara itu, Naib Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi kini mendahului lima pencabar lain bagi jawatan Ketua Puteri UMNO.
Di samping itu, Exco Pergerakan Puteri UMNO, Siti Sokhleha Nordin mendahului tiga pencabar lain bagi jawatan Naib Ketua Puteri UMNO.
Pada Sabtu, pemilihan UMNO bagi sesi 2023/2026 bermula pada hari ini dengan proses pengundian para perwakilan seluruh Malaysia.
Para perwakilan akan mengundi untuk memilih calon terbaik bagi mengemudi bahtera Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di bahagian masing-masing serta pusat.
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, seramai tujuh calon menawarkan diri untuk jawatan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap (12), Ketua (4), Naib Ketua (4) dan 113 jawatan EXCO.
Untuk sayap Wanita UMNO, seramai dua calon mempertandingkan diri untuk jawatan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap (4), Ketua Wanita UMNO (2), Naib Ketua Wanita UMNO (2) dan 61 bagi jawatan EXCO.
Paling mencuri tumpuan adalah pertandingan bagi kerusi Ketua Wanita UMNO yang menyaksikan penyandangnya, Noraini akan dicabar Shahrizat yang membuat kemunculan semula setelah melepaskan jawatan itu pada 2018
Sementara itu, bagi Pergerakan Puteri UMNO Malaysia pula, dua orang calon menawarkan diri bagi jawatan Pengerusi Tetap, dua Timbalan Pengerusi Tetap, enam untuk Ketua, tiga Naib Ketua dan 42 calon bagi jawatan Exco.