YOGYAKARTA - Gunung Merapi di Indonesia yang juga salah satu gunung berapi paling aktif di dunia dilaporkan memuntahkan asap dan debu sehingga menyelubungi perkampungan berhampiran kawah.
Agensi mitigasi bencana Indonesia berkata, tiada laporan kemalangan jiwa setakat ini.
Gambar yang disiarkan saluran Kompas TV menunjukkan rumah dan jalan raya dilitupi debu berhampiran gunung tersebut yang terletak di Pulau Jawa, Yogyakarta.
Balai Pemantau Gunung Berapi Merapi menganggarkan awan abu mencecah 3,000 meter di atas puncak gunung tersebut.
Pihak berkuasa mewujudkan zon larangan sejauh tujuh kilometer dari kawah selepas letusan berlaku yang direkodkan pada jam 12.12 tengah hari (waktu tempatan).
"Orang ramai dinasihatkan menghentikan sebarang aktiviti di kawasan berpotensi bahaya," kata jurucakap agensi, Abdul Muhari dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sekurang-kurangnya lapan buah kampung berhampiran gunung dilaporkan terjejas akibat gunung berapi.
Letusan terakhir gunung berapi pada 2010 yang membunuh lebih 300 orang dan 280,000 penduduk dipindahkan. - AFP