SEREMBAN - Kerajaan negeri memberi penekanan terhadap melahirkan modal insan berpengetahuan tinggi selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang 2030.
Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Bahrom berkata, melalui pembacaan, minda akan terbuka luas dan maklumat yang diperolehi amat berfaedah bukan sahaja kepada individu tetapi organisasi serta masyarakat.
"Membaca dari dahulu, kini dan selamanya tetap menjadi kunci untuk memperoleh ilmu. Tiada kemahiran yang lebih asas dan penting daripada membaca.
"Dari masalah Matematik yang kompleks, sejarah tamadun manusia, penemuan saintifik dan ciptaan teknologi terkini, membaca adalah sebahagian proses pembelajaran pelbagai bidang tersebut.
"Di dalam usaha menuju ke arah negara maju, ilmu pengetahuan merupakan tunjang utama untuk merealisasikannya," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Jom Baca Bersama untuk 10 Minit Sehari dan Dekad Membaca Kebangsaan peringkat Negeri di Maydin Mall, Seremban 2, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri (PPANS), Jamilah Katis.
Hasan berkata, justeru perlu merangka satu pendekatan baharu yang lebih mantap lagi agresif bagi menarik lebih ramai masyarakat mencintai dunia pembacaan.
"Saya penuh yakin dan percaya bahawa pihak Perpustakaan Awam Negeri Sembilan mempunyai perancangan dan kepakaran dalam menyediakan program galakkan membaca yang boleh menarik masyarakat khususnya rakyat Negeri Sembilan," katanya.
Menurutnya, program Jom Baca Bersama untuk 10 minit sehari ini memperuntukkan hanya 10 minit sahaja untuk membaca.
"Hanya 10 minit, kita berhenti sebentar membaca sebagai simbol komitmen dalam mengamalkan tabiat membaca dalam rutin harian, seterusnya dapat menjadi contoh kepada generasi muda," katanya.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, semua aktiviti perlu dihentikan untuk membaca selama 10 minit.
"Program ini adalah usaha permulaan dalam memupuk minat membaca kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan untuk menjiwai program membaca yang dijalankan ini," katanya.