Guru lelaki kurang di Perak

Iklan
Dr Abdul Aziz Bari

IPOH - Kekurangan guru lelaki antara isu pendidikan yang masih belum dapat diatasi di Perak.

Exco Pendidikan, Sains,Teknologi dan Alam Sekitar, Dr Abdul Aziz Bari berkata, masalah itu dikesan banyak berlaku di sekolah-sekolah kebangsaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tiada data yang tepat mengenai bilangan guru lelaki di negeri ini, namun masalah terbabit berlaku dan antara yang sering dibangkitkan dalam perjumpaan sekolah-sekolah.

"Masalah berkaitan jantina tak seimbang ini adalah di luar bidang kuasa kita kerana pengambilan tenaga pengajar adalah berdasarkan keperluan dan kelayakan.

Iklan

"Ada prosedur dan peruntukan undang-undang yang perlu dipatuhi dalam penentuan itu," katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu pada sesi soalan lisan, Abdul Aziz (Tebing Tinggi-DAP) berkata, Perak merekodkan 310 kekurangan guru di peringkat sekolah menengah dan 157 orang bagi sekolah kebangsaan.

Iklan

Katanya, masalah itu disebabkan ada guru yang meninggal dunia, bersara wajib dan bersara pilihan, dibuang kerja serta sakit berpanjangan.

"Kerajaan ada perancangan untuk menangani kekurangan guru ini, tetapi kita ada kekangan kerana kuasa melantik adalah di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dan Kementerian Pendidikan.

"Untuk jangka pendek, Jabatan Pendidikan Negeri ada melantik guru ganti yang dibayar elaun berdasarkan kadar RM54 (SPM), RM72 (diploma) dan RM100 (Ijazah dan ke atas) sehari, bagaimanapun lantikan ini terhad kerana bergantung kepada peruntukan kewangan agensi pusat," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Dr Mohammad Amin Zakaria (Batu Kurau-BN), beliau berkata, pada masa ini, tiada sebarang perbincangan dibuat di peringkat kerajaan negeri untuk mengurangkan bilangan guru.

"Kalaupun ada pelaksanaan untuk mengecilkan sektor-sektor perkhidmatan awam, kita mahu perkhidmatan pendidikan dikecualikan," katanya.