KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat tiba di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada jam 10.30 malam tadi.
Kehadiran Timbalan Perdana Menteri itu turut diiringi Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Pengerusi BN itu dilihat memasuki lobi Menara Dato' Onn, sebelum terus menuju ke lif bersama pegawainya.
Difahamkan kehadiran beliau itu adalah bagi melihat keputusan Pemilihan UMNO bagi sesi 2023/2026.
Ketika ini keputusan Pemilihan UMNO sesi 2023/2026 bagi sayap parti belum lagi berakhir dan proses pengiraan masih berlangsung.
Mesyuarat tiga sayap UMNO bahagian, berlangsung hari ini secara serentak di 191 bahagian seluruh negara, dengan agenda pemilihan kepemimpinan baharu pergerakan itu bagi peringkat bahagian dan pusat.
150,000 perwakilan layak mengundi untuk memilih calon terbaik bagi mengemudi bahtera pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sesi 2023/2026.
Pertandingan bagi merebut kerusi Ketua Wanita UMNO, menyaksikan penyandangnya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, dicabar Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang membuat kemunculan semula setelah melepaskan jawatan itu pada 2018.
Bagi kerusi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO menyaksikan empat calon bertanding iaitu Datuk Armand Azha Abu Hanifah, Meor Hassan Mat Ali, Dr Muhamad Akmal Salleh dan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Bagi kerusi Ketua Pergerakan Puteri pula memperlihatkan pertembungan enam penjuru antara Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin; Exco Pergerakan Puteri UMNO, Dr Masliha Harun dan Naib Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi.
Baki dua calon lain adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Exco Puteri UMNO, Fadwah Anuwar dan Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan.