PENYANDANG juara Terengganu Hockey Team (THT) membuktikan status sebagai kuasa besar tanah air sukan itu apabila mempertahankan kejuaraan Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia (MHL) buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-2 di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu pada Sabtu.
THT yang dibimbing jurulatih dari Korea Selatan, Seo Jongho membuktikan pengalaman berpihak kelab pantai timur itu apabila bangkit daripada ketinggalan sebanyak dua kali sebelum berhasil jaringan kemenangan untuk mempertahankan gelaran pada aksi terakhir liga itu.
Pemain kebangsaan, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal meletakkan TNB di hadapan pada minit ke-30 menerusi jaringan padang selepas kedua-dua pasukan buntu memecah jaringan di awal permainan, sebelum THT menyamakan kedudukan lima minit kemudian hasil gol padang Abdul Khaliq Hamirin.
TNB kembali mendahului selepas pemain kebangsaan, Muhammad Aminuddin Mohd Zain menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-42, namun kedudukan 2-1 hanya bertahan lima minit apabila pemain import dari Korea Selatan, Jang Jonghyun meledak jaringan kedua THT hasil pukulan sudut penalti.
Jonghyun muncul wira pasukan selepas meledak gol ketiga THT dan jaringan kedua peribadinya menerusi pukulan sudut penalti ketika permainan berbaki beberapa saat sebelum wisel penamat dibunyikan.
Untuk rekod, THT yang tidak tewas dan hanya seri sekali dalam keseluruhan 14 perlawanan mengumpul 40 mata untuk berada di persada liga, manakala TNB yang dibimbing bekas pemain kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin kekal di tangga kedua dengan 34 mata.
Sementara itu Nor Saiful Zaini yang tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya pula berkata:"Kita juga banyak buat kesilapan. Kita hanya tunggu di tengah, tunggu mereka (THT) datang."
Dalam satu lagi perlawanan, Maybank menamatkan saingan di tempat ketiga selepas terikat tanpa jaringan menentang TNB Thunderbolts, manakala kedudukan keempat menjadi milik UiTM HA-KPT yang menewaskan Nurinsafi Sporting 5-2.
Saingan MHL akan beralih kepada perebutan kejuaraan Piala TNB yang bermula dengan peringkat separuh akhir secara timbal balik pada Selasa ini.
THT yang juga juara Piala Sumbangsih musim ini akan membuat perhitungan menentang UiTM HA-KPT sementara TNB akan berentap dengan Maybank.