ALOR SETAR - Selepas disajikan dengan keindahan bunga Sakura Kedah, fenomena jerami gulung ala Texas di Kampung Kelompang di sini, pula menjadi tarikan baharu musim kemarau di daerah Kota Setar.
Jerami gulung hasil kreativiti sekumpulan anak muda sejak awal bulan Mac kini menjadi tarikan sebagai lokasi bergambar, sekali gus mengangkat nama Kampung Kelompang.
Wakil anak muda, Nik Mohd Adi Sobri Nik Ahmad Kamal berkata, kira-kira 20 anak muda sepakat mengumpul wang untuk membeli jerami gulung dan bergotong-royong menghias dan menyusun pelbagai bentuk jerami di sawah padi itu.
Nik Mohd Adi Sobri berkata, pada mulanya, mereka mendapat idea menghiasi sawah padi dengan jerami gulung untuk menyediakan kawasan riadah kepada penduduk kampung sahaja.
"Bagaimanapun, orang ramai mula berpusu-pusu datang selepas dua hari replika jerami gulung menghiasi kawasan sawah padi di Kampung Kelompang.
"Kami keluarkan lagi duit poket sehingga keseluruhan mencecah RM3,000 demi menghiasi sawah dengan 16 gulung jerami dan memeriahkan suasana ketika musim kemarau ini," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, mereka sendiri tidak menyangka replikasi jerami padi berkenaan akan menarik kehadiran pengunjung setiap hari ke Kampung Kelompang.
"Ia memandangkan penduduk memiliki banyak perancangan untuk menghidupkan lagi kawasan ini termasuklah aktiviti berbuka puasa beramai-beramai di tengah sawah dengan segala kemudahan termasuklah tempat ambil wuduk dan sebagainya," katanya.
Menurut Nik Mohd Adi Sobri, orang ramai dapat berseronok dan melakukan aktiviti riadah tanpa mengeluarkan wang ataupun modal yang tinggi.
"Antara tarikan pesta jerami gulung Kampung Kelompang adalah kami mengetengahkan konsep tradisional seperti pameran basikal tua, peralatan proses menuai padi tradisional dan acara bendang lain," katanya.
Beliau menyifatkan, usaha anak muda Kampung Kelompang mengetengahkan konsep jerami gulung bertepatan dengan Kedah yang digelar Jelapang Padi Malaysia.
Sementara itu, penduduk, Shukri Ahmad, 60, berkata, beliau berbangga dengan usaha anak muda memperkenalkan nama Kampung Kelompang hingga dikenali seluruh negara.
Shukri berpandangan, Kampung Kelompang bukan sahaja kampung terpencil, malah tidak memiliki mercu tanda ataupun masjid dan sekolah.
"Ini salah satu cara untuk memperkenalkan Kampung Kelompang kepada orang ramai. Tidak sangka dapat sambutan sehingga mencecah lebih 1,000 pengunjung terutamanya pada hujung minggu," katanya.
Menurutnya, anak muda kampung berkenaan juga disifatkan berjiwa besar apabila sanggup mengeluarkan wang dan mengorbankan tenaga serta masa hingga waktu malam untuk bergotong-royong mengutip sampah dan membaiki replikasi jerami itu.
Beliau berharap usaha anak muda Kampung Kelompang akan lebih rancak dan orang akan memberi sumbangan untuk menghiasi tempat itu supaya menjadi lebih menarik.
Sementara itu, seorang pengunjung, Fazida Wahab, 55, memberitahu, dia berasa teruja untuk merakamkan gambar kenangan bersama jerami gulung tersebut.
Fazida berpandangan, kehadiran pelbagai reka bentuk jerami gulung bukan hanya mengindahkan kawasan sawah padi, malah ia memberi peluang kepada penduduk beriadah bersama keluarga.
Dia memberitahu berasa seronok kerana berpeluang merakamkan gambar kenangan, malah pelbagai aktiviti turut dijalankan di kawasan sawah padi itu termasuklah permainan wau, menunggang kuda dan himpunan lebih 100 jentera berat termasuklah mesin padi.