BIARPUN muncul pasukan pertama berjaya membolosi gawang skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini, namun pengendali Kelantan FC, Choi Moon Sik masih belum berpuas hati dengan prestasi keseluruhan skuad bimbingannya itu.
Menurut Moon Sik, masih banyak penambahbaikan yang perlu dilakukannya dalam usaha membentuk skuad yang mantap, khususnya membabitkan prestasi kesebelasan skuad The Red Warriors (TRW) bagi mengharungi perlawanan akan datang.
"Tetapi secara keseluruhannya, kita perlukan lebih banyak penambahbaikan khususnya dalam aspek prestasi pemain,” katanya.
Untuk rekod, Kelantan FC tewas 1-5 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.
Mengulas mengenai aksi beberapa pemain muda yang diturunkan, Moon Sik berkata, kesemua mereka telah memberikan aksi yang cukup memberangsangkan.
Malah, pemain-pemain yang diturunkan dilihat berjaya memberikan kesukaran kepada kesebelasan tuan rumah khususnya jentera serangan untuk bergerak bebas sepanjang perlawanan.
"Pemain juga dilihat cuba untuk mengikut tempo perlawanan, namun tidak berjaya kerana corak yang ditampilkan JDT nyata berbeza.
"Namun bagi saya, bola sepak merupakan sukan yang adakalanya ‘kejam’ dan kami ternyata tidak mampu untuk menyaingi tempo dan teknikal lawan,” jelasnya.