TONGGAK tengah Chelsea, Enzo Fernandez hanya akan konsisten meningkat apabila dapat menyesuaikan diri dengan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mempamerkan aksi menakjubkan ketika The Blues menang 3-1 di Leicester City pada Ahad.
Pengendali Chelsea, Graham Potter berkata, pemain kelahiran Argentina berusia 22 tahun itu merupakan pemain yang hebat dan masih memiliki ruang penambahbaikan untuk kekal bersama kelab London tersebut.
"Ya, dia pemain yang hebat dan masih muda. Dia akan menjadi lebih baik dan bertambah lebih baik kerana lebih banyak bersama kami.
"Dia baharu tiba dari negara dan liga lain. Jadi anda perlu sentiasa menyesuaikan diri dengan suasana Liga Perdana Inggeris.
"Tetapi anda boleh lihat kualitinya, dia dapat bola, dia boleh hantar ke hadapan. Dia progresif dengan mentalitinya, membuatkan pasukan bergerak dan kemudian dia memberikan segala-galanya, ia adalah kombinasi yang bagus.
"Dia mahu membantu dan bekerjasama dengan pasukan. Saya sangat gembira kerana dia boleh membantu kami menang," kata Potter.
Chelsea menandatangani Fernandez dari Benfica dengan rekod British, 121 juta euro (RM560.69 juta) dengan kontrak lapan tahun setengah hingga 2031.
Yuran sebanyak £106.8 juta itu melebihi rekod sebelumnya, £100 juta (RM525.19 juta) yang dibayar Manchester City kepada Aston Villa bagi mendapatkan Jack Grealish pada 2021.
Fernandez yang menganggotai Argentina di Piala Dunia 2022; dinamakan Pemain Muda Terbaik Piala Dunia di Qatar.
Aksi di laman The Foxes itu, Ben Chilwell terlebih dulu meletakkan Chelsea di depan pada minit ke-11 sebelum dua gol lagi hadir menerusi Kai Havertz (m-46), Mateo Kovačić (m-78) manakala gol saguhati tuan rumah dijaringkan Patson Daka (m-39).
Biarpun dalam tiga perlawanan terakhir Chelsea, Fernandez lebih tenang di bahagian tengah bersama Mateo Kovacic, namun dia tampil lebih bertenaga memberikan bantuan kepada Kai Havertz di Stadium King Power.
Pada masa sama Potter mengakui gembira dengan semangat dan kebersamaan ditunjukkan pemain- pemainnya, mengesa mereka untuk konsisten menjelang fasa rehat antarabangsa selepas ini dengan kemenangan ke atas Everton di Stadium Stamford Bridge minggu depan.
"Semua orang menyokong antara satu sama lain, berjuang untuk pasukan. Saya gembira untuk pemain, kerana ia merupakan tempoh sukar yang kami lalui tetapi minggu ini adalah satu yang positif.
"Kini kami boleh menantikan hujung minggu menentang Everton dan cuba menamatkan perlawanan sebelum rehat antarabangsa dengan tiga mata," kata Potter.
Liga Perdana Inggeris
Bournemouth 1-0 Liverpool
Crystal Palace 0-1 Manchester City
Leicester City 1-3 Chelsea
Tottenham 3-1 Nottingham Forest
Everton 1-0 Brentford
Leeds United 2-2 Brighton