ALOR SETAR - Keputusan pemilihan sayap Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah tergantung susulan terdapat percanggahan jumlah undi dengan jumlah perwakilan yang hadir.
Setiausaha UMNO Kedah, Datuk Ariffin Man berkata, pihaknya menerima bantahan daripada salah satu pihak yang bertanding berhubung kekeliruan tersebut kerana dikhuatiri wujudnya pengundi hantu.
Menurutnya, berikutan aduan tersebut, pengiraan kertas undi belum dilakukan bagi membolehkan semakan dibuat terlebih dahulu terhadap senarai pendaftaran perwakilan.
"Ada bantahan daripada satu pihak apabila pengerusi tetap umum jumlah perwakilan hadir, serta kertas undi yang dibilang dan diterima balik tidak sama.
"Kita akan semak semula senarai perwakilan yang hadir, mungkin pengerusi tetap terlepas pandang atau ada yang datang lewat, semua itu perlu rujuk urusetia,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Ariffin memaklumkan, pihaknya perlu menunggu arahan daripada jawatankuasa bantahan UMNO pusat untuk tindakan selanjutnya.
"Jawatankuasa berkenaan akan membuat penilaian dan arahan selanjutnya kelak, kita akan bertindak berdasarkan keputusan tersebut,” jelasnya.
Difahamkan, Jawatankuasa Pemilihan Bahagian Kuala Kedah mendapati sebanyak 570 kertas undi diterima selepas proses pengundian berbanding 521 perwakilan yang hadir pada mesyuarat sayap itu pada Sabtu.
Berikutan itu, keputusan dibuat untuk menangguhkan pemilihan sayap Wanita Kuala Kedah setelah terdapat ura-ura kemungkinan pemilihan bahagian tersebut dicemari pengundi hantu dalam proses undian.
Pemilihan jawatan Ketua Wanita UMNO bahagian itu menyaksikan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim mencabar penyandang, Noor Hasita Mat Isa.
Sebanyak 750 perwakilan wanita layak memilih dengan kehadiran seramai 521 orang pada pemilihan merangkumi 150 cawangan di bahagian Kuala Kedah.