ANTONIO Conte memuji Tottenham Hotspur apabila bangkit daripada minggu yang menyedihkan selepas melakar kemenangan 3-1 ke atas Nottingham Forest dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Tottenham Hotspur pada Ahad.
Malah pengendali dari Itali itu percaya tiga mata diraih kelab London tersebut di laman sendiri tersebut akan mengulangi pencapaian kedudukan empat teratas musim lalu.
"Ada baki 11 perlawanan lagi dan kami perlu kemenangan hari ini untuk bangkit untuk menunjukkan bahawa kelab ini kuat dari segi mental.
"Ya, dalam aspek moral sebenarnya sebelum perlawanan benar-benar menurun, namun sebaliknya saya melihat semangat perjuangan dan keinginan yang betul untuk mendapatkannya tiga mata.
"Yang pasti saya ulangi untuk kami menamatkan saingan di empat teratas adalah seperti memenangi Liga Perdana Inggeris. Ia berlaku musim lalu dan saya bercakap tentang keajaiban pada musim ini.
"Saya terus mengatakan mungkin musim ini ia lebih sukar apabila Liverpool adalah pesaing dalam perlumbaan ini. Newcastle adalah pesaing tetapi Newcastle kali ini amat berbeza dengan masa lalu. Mereka melabur banyak wang dan mereka mempunyai pasukan yang kuat," kata Conte.
Dua jaringan separuh masa pertama Harry Kane pada minit ke-19 dan 35 disusuli dengan penyudah pintar Son Heung-min (m-62) pada awal separuh masa kedua untuk meletakkan Spurs di hadapan enam mata daripada Liverpool di tangga kelima.
Ia adalah kemenangan pertama Tottenham dalam empat perlawanan dan menaikkan tekanan ke atas Conte selepas tersingkir dari Piala FA dan Liga Juara-Juara baru-baru ini.
Mengenai jaringan Kane, Conte berkata:
"Harry adalah contoh yang baik, namun bukan untuk gol yang dijaringkan sebaliknya komitmen dan keinginannya.
"Hari ini dalam pemain saya, saya telah melihat api di mata mereka.”