KERUSI ditarik. Mesti akan ingat semasa belajar dulu cara inilah selalu dikenakan oleh kawan-kawan dengan niat untuk bergurau.
Nak tak nak, badan pasti jatuh ke bawah. Bimbangnya kalau nasib tak menyebelahi boleh beri kecederaan dan tak kurang pula dah tentu rasa sakit.
Ini lain pula yang berlaku pada pelakon cilik yang viral di media sosial mengalami masalah saraf kesan daripada kerusi ditarik dan badannya menghempap kaki besi tripod.
Kejadian berlaku semasa pelakon cilik ini berada di set penggambaran.
Kemalangan yang menimpa pelakon cilik, Puteri Rafasya, 12, ketika di lokasi penggambaran drama Jaga Aku Selamanya bertambah serius apabila terpaksa dimasukkan ke wad pediatrik Hospital Tunku Azizah (HTA).
Perkongsian daripada ibunya, Fatin Aliza Salmi, 33, memberitahu Puteri terlebih dahulu dikejarkan dengan ambulans dan ditempatkan di zon kuning Hospital Kuala Lumpur (HKL), jam 3 pagi selepas mengalami kebas kaki dan air kencing yang keluar secara tidak sedar.
"Sekarang, Puteri ada masalah dengan pundi kencing dan kakinya kebas. Bila kaki kebas memang situasi agak merisaukan sebenarnya.
"Disebabkan itu, Puteri perlu dikejarkan ke zon kuning pada awalnya. Ia juga berkait rapat dengan saraf.
"Selepas doktor menjalankan pemeriksaan, Puteri akhirnya perlu ditahan di wad pediatrik HTA sehingga keadaannya beransur pulih.
"Keadaan Puteri agak teruk juga sebab masih perlu memakai lampin pakai buang,” katanya.
Melihatkan keadaan anaknya yang semakin membimbangkan, Fatin berkata, dia sudah tidak tahu untuk berbuat apa-apa disebabkan pihak terbabit dilihat mengambil sikap lepas tangan berhubung kemalangan itu.
"Kalau diikutkan laporan perubatan dikeluarkan, Puteri dianggarkan sudah boleh berjalan ketika ini.
"Sehingga hari ini, kami masih tidak menerima sebarang bantuan atau kata putus daripada pihak terbabit.
Saya tertanya-tanya adakah mereka perlu lepas tangan seperti ini.
"Bagaimanapun, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) ada menghubungi saya untuk mengadakan pertemuan bersama pihak produksi dan keluarga pelaku untuk membincangkan mengenai perkara ini,” katanya.
Dalam masa sama, Fatin berkata, sekiranya masih tiada tindakan susulan, dia akan melancarkan tabung bantuan bagi memudahkan urusan perubatan anaknya.
"Sekiranya perkara ini masih berlanjutan dan pihak terbabit juga terus dengan keputusan berdiam diri, saya rasa mungkin perlu lancarkan tabung bantuan.
"Ia bertujuan untuk menampung kos perubatan Puteri,” katanya.
Terdahulu, Puteri terpaksa menanggung derita apabila tidak mampu duduk dan berjalan tanpa bantuan keluarga akibat tulang pinggul retak selepas dilaporkan terjatuh ketika penggambaran di Beranang, Selangor pada penghujung bulan lalu.
Kata ibunya, kemalangan itu berlaku ketika Puteri dan elakon lain sedang membuat sesi latihan sebelum seorang kanak-kanak (ahli keluarga pelakon lain) menarik kerusi yang diduduki Puteri. Akibatnya, tubuh Puteri menghempap kaki kerusi tripod. - Mingguan Wanita