Penternak lembu ditahan bersama sepucuk pistol, 600 biji yaba

Iklan
Muhamad Zaki (dua dari kiri) menunjukkan pistol dan dadah yang dirampas daripada seorang penternak lembu di Taman Desa Rahmat, Guchil, Kota Bharu.

KOTA BHARU - Seorang penternak lembu di Taman Desa Rahmat, Guchil di sini ditahan bersama sepucuk pistol dan 600 biji pil yaba pada Khamis lalu.

Bertindak atas maklumat, satu serbuan dilakukan terhadap pemuda berusia 27 tahun itu di sebuah bangsal pada jam 9.48 malam.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati ada beberapa objek dalam keadaan berselerak di atas rumput.

"Kami menjumpai sepucuk pistol jenis semi automatik warna hitam bertulisan Beretta U.S.A berserta dengan satu kelopak warna hitam.

Iklan

"Di dalamnya mengandungi sembilan butir peluru hidup bertulisan A USA 9MM Luger," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Ahad.

Menurut beliau, turut ditemui tiga peket plastik dengan setiap bungkusan mengandungi 198 biji pil yaba.

Iklan

Ujarnya, hasil pemeriksaan di bangsal tersebut telah menjumpai satu peket plastik berisi ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 5.7 gram di atas pangkin kayu.

Tambahnya, polis turut merampas 5 liter air ketum yang dibungkus dalam satu plastik.

"Selain itu pihak kami telah menyita sebuah pikap jenis Toyota Hilux dan motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

"Hasil siasatan awal suspek mempunyai dua rekod lampau iaitu melibatkan kes Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Beliau berkata, kes tersebut akan disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.