BENTONG - Sebuah treler muatan baja yang terbabas di tepi jalan di Kilometer (KM) 40.9, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) menghala ke Bentong di sini pada Ahad menyebabkan laluan itu sesak hampir enam kilometer.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi ketika treler berkenaan dalam perjalanan dari Subang ke Terengganu.
Menurutnya, treler itu dipandu oleh seorang lelaki warganegara tempatan berusia 50 tahun.
"Hasil siasatan mendapati apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan tersebut telah mengalami kerosakan brek.
"Pemandu itu cuba untuk memberhentikan kenderaaan tersebut namun tiba-tiba ia mengundur ke belakang dan menyebabkan treler hilang kawalan serta terbabas di tepi jalan," tambah Zaiham.
Jelas beliau lagi, kejadian itu menyebabkan kerosakan di bahagian kepala treler dan tidak boleh dialihkan.
"Akibat kemalangan tersebut telah menyebabkan kesesakan lalu lintas hampir enam kilometer dari KM30.1 menghala ke lokasi kemalangan.
"Pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59," ujar Zaiham.