Wajib ada kajian kebolehlaksanaan elak projek gajah putih

Iklan
Kor Ming berucap pada majlis Penutup Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2023 di Ipoh Convention Centre (ICC), pada Ahad. - Foto Bernama

IPOH - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menetapkan bermula tahun ini semua projek baharu di bawah kendalian kementerian itu wajib menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi mengelakkan daripada berlakunya projek ‘gajah putih’.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kajian kebolehlakasanaan secara berkecuali penting untuk dilakukan secara profesional supaya semua projek baharu yang bakal dilaksanakan menepati kriteria ditetapkan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditanya keseriusan isu berkenaan projek gajah putih yang berlaku akibat kurangnya pelibatan orang awam.

Kor Ming berkata, KPKT akan cuba menyelamatkan projek gajah putih yang terbengkalai sebelum ini, namun berasa amat kesal sekiranya ia tidak dapat dilakukan.

Iklan

Menurutnya, KPKT kini memberi fokus kepada menaik taraf projek sedia ada seperti penaiktarafan pasar awam dalam menuju ke tahap negara maju seiring kemajuan negara.

Kor Ming berkata, pihaknya pasti akan melakukan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan, terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif bagi memastikan tiada lagi projek yang tidak diingini berlaku pada masa hadapan.

Iklan

Terdahulu dalam ucapannya, Kor Ming berkata, rakyat perlu sentiasa dilibatkan dalam perancangan pemajuan bandar kerana suara mereka iaitu pendekatan dari bawah ke atas membolehkan PBT benar-benar membangun dan memajukan bandar berdasarkan keperluan rakyat.

"Lantaran itu, suka saya menegaskan sekali lagi, Peruntukan Berlandaskan Pelaksanaan adalah penting bagi memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT terhadap kesejahteraan dapat terus dipertingkatkan.

"KPKT akan mempertimbangkan projek baharu melalui pelaksanaan kajian berdasarkan Pulangan Pelaburan; Analisis Kos Faedah; Indeks Kesahan dan Kebolehpercayaan; dan Kajian Kebolehlaksanaan,” katanya.

Dapatan kajian tersebut menurut Kor Ming akan memberi fokus yang jelas dan nyata serta menghindarkan ketirisan perbelanjaan atau senario projek gajah putih. - Bernama