PERAK FC akhirnya mengutip tiga mata berharga musim ini selepas membenam Kuching City FC 2-0 dalam saingan Liga Super Malaysia di Stadium Perak di sini pada Ahad.
Penyerang dari Korea Selatan, Seo Seonung menjadi wira skuad Kejor Yeop Kejor apabila menjaringkan dua gol di hadapan lebih 7,000 penyokong yang hadir ke stadium.
Minit awal permainan menyaksikan perlawanan seimbang dengan kedua-dua pasukan mencari rentak mengasak kubu lawan masing-masing.
Kehadiran beberapa tonggak utama Perak FC yang kembali dari penggantungan dan pulih dari kecederaan menyaksikan pasukan tuan rumah lebih selesa menyusun rentak.
Seawal minit kedua, Perak FC mendapat peluang menerusi penyerang Seo Seonung yang mendapat umpanan dari Hadi Fayyadh namun tendangan lemahnya mudah diselamatkan penjaga gol lawan, Shaiful Wazizi Mohammad.
Pemain Perak FC, Farris Izdiham Awang Kechik memperoleh peluang menjaringkan gol pada minit ke-20 namun sekali lagi penjaga gawang Kuching City FC mendakap kemas rembatannya.
Selang seminit kemudian, sepakan penjuru pemain lawan, Wan Mohammad Faiz Wan Sulaiman hampir mencipta jaringan tetapi tumbukan penjaga gol tuan rumah, Bryan See menyelamatkan gawang dari dibolosi.
Pasukan tuan rumah membuat pertukaran pertama pada minit ke-25 mengeluarkan pertahanan import mereka, Sunday Afolabi yang mengalami kecederaan dengan diganti Raja Imran Shah Raja Amin.
Perak FC membuka jaringan pertama pada mint ke-42 menerusi Seo Seonung selepas rebatannya gagal ditampan kemas Shaiful Wazizi.
Tersentak dengan jaringan tersebut, pasukan pelawat mengasak kubu Perak FC dan memperoleh beberapa peluang menyamakan kedudukan.
Perlawanan babak pertama tamat selepas dua minit masa tambahan menyaksikan Perak FC mendahului Kuching City FC 1-0.
Bersambung separuh masa kedua, pasukan pelawat bermula garang dengan menyusun serangan ke kubu lawan untuk mendapatkan gol penyamaan.
Seo Seonung menambah lagi jaringan kedua peribadinya pada minit ke-58 selepas menyambut umpanan Farris Izdiham Awang Kechik sekaligus meletakkan Perak FC di depan dengan jaringan 2-0.
Kad kuning pertama perlawanan dilayangkan pengadil perlawanan, Mohd Fusser Mad Salllih ke atas pemain Perak FC, Shivan Pillay diikuti pemain Kuching City FC, Mohamad Alif Hassan kerana kekasaran ke atas pemain lawan.
Pengendali Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim kemudiannya membawa masuk dua pemain baharu, Hidhir Idris dan Amirul Shafik Che Ros bagi mengatur gerak untuk mendapatkan gol.
Bagaimanapun tekanan demi tekanan diberikan pelawat gagal merobek gawang Perak yang dijaga rapi Bryan See.
Tamat perlawanan menyaksikan Perak FC berjaya mengutip tiga mata pertama mereka di laman sendiri menewaskan Kuching City FC dengan jaringan 2-0.