Usaha kolektif banteras jenayah siber

Iklan
Jika ia hanya dipandang sepi dan tidak ditangani secara bijak maka lebih ramai rakyat akan menjadi mangsa dalam penipuan ini. - Gambar hiasan

MAJLIS Belia Malaysia (MBM) memandang serius isu jenayah penipuan dalam talian yang semakin tenat dan membimbangkan kebelakangan ini. Sindiket ini dilihat semakin aktif di media-media sosial seolah-olah tiada pemantauan atau sekatan.

Seperti yang dilaporkan oleh Ketua Polis Negara baru-baru ini, jenayah penipuan dalam talian melibatkan pembelian dalam talian, pinjaman tidak wujud, pelaburan dalam talian, Macau Scam, African Scam, pintasan e-mel dan penipuan sistem pesanan ringkas (SMS).

Iklan
Iklan

Merujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang merupakan usaha sama antara Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (National Anti-Financial Crime Centre, NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta institusi kewangan dan industri telekomunikasi, sejumlah RM52.4 juta kerugian akibat sindiket penipuan dalam talian di Malaysia direkodkan sejak Oktober 2022 hingga Januari 2023.

MBM percaya angka tersebut tidak membayangkan jumlah sebenar daripada kes mangsa-mangsa yang tidak dilaporkan.

Iklan

Apa yang membimbangkan modus operandi sindiket ini turut menyasarkan golongan muda termasuk pelajar dan belia bagi memperdaya mereka dalam urusan pinjaman dan keldai akaun.

Sudah pasti dengan tekanan yang dihadapi rakyat dalam situasi ekonomi hari ini, sindiket ini menggunakan kelicikan mereka menawarkan sesuatu yang tidak masuk akal untuk memerangkap mangsa.

Iklan

Malah jenayah penipuan dalam talian ini juga turut melibatkan scammer dari luar negara yang menguna pakai transaksi dengan nilai mata wang asing.

Ini belum lagi menyentuh jenayah scammer melibatkan pemerdagangan orang di luar negara yang begitu menggerunkan.

MBM merasakan sudah tiba masanya semua pemegang taruh untuk memikul tanggungjawab bersama secara kolektif dan berstrategi dalam usaha membanteras jenayah siber ini.

Sebagai contoh, kerjasama khusus di antara institusi perbankan dengan pihak PDRM perlu dipertingkatkan bagi pendakwaan di mahkamah bagi individu yang disyaki sebagai keldai akaun yakni mereka yang sengaja menjual atau menyewakan akaun kepada pihak-pihak sindiket.

Selain itu, pindaan terhadap undang-undang sedia ada, contohnya Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 perlu dicadangkan segera untuk melibatkan hukuman yang lebih tegas dalam mengekang jenayah terancang yang terkait dengan sindiket ini.

Segala kepakaran dan agensi yang ada seperti SKMM perlu lebih proaktif dan digembeling sepenuhnya bagi menyekat segala bentuk infomasi, iklan, promosi, mesej, video berkaitan penipuan dalam talian di platform media sosial.

Matlamatnya mudah. Jika iklan ini tidak dilihat maka risiko untuk individu menjadi mangsa penipuan dalam talian ini adalah sangat tipis.

Di samping itu, kaedah advokasi dan kempen kesedaran kepada orang ramai juga perlu dipertingkatkan dan berterusan.

Justeru, MBM sedia bekerjasama dengan pihak SKMM contohnya dalam mendekati golongan belia di sekolah, institusi pendidikan tinggi, awam dan swasta dalam memberi pendedahan kepada mereka tentang jenayah penipuan dalam talian ini.

MBM memahami isu scammer atau jenayah siber ini merupakan masalah global dan bukan sahaja tanggungjawab pihak kerajaan.

Kerajaan telah menubuhkan NSRC sebagai sebagai pusat operasi untuk menyelaraskan tindak balas pantas terhadap penipuan kewangan dalam talian dan sudah diketahui dengan statistik terkini.

Namun begitu, inisiatif-inisiatif ini adalah lebih berorientasikan laporan dan siasatan selepas kejadian penipuan telah berlaku.

Lebih banyak usaha pencegahan dan pendidikan yang berfokuskan pembentukan mentaliti golongan muda yang sihat dan peningkatan sekuriti aktiviti dalam talian perlu dirancangkan dari sekarang.

Rancangan atau pelan ini penting untuk mengelakkan golongan muda menjadi mangsa kes penipuan dalam talian disebabkan ketamakan, kegelisahan dan kejahilan dalam kehidupan seharian.

Mungkin peribahasa ‘mencegah lebih baik dari mengubati’ sesuai dalam konteks kes ini untuk melindungi 32 juta rakyat Malaysia daripada terus menjadi mangsa yang pastinya akan mendatangkan kerugian kepada negara.

MBM percaya usaha ini bukan sesuatu yang mudah, namun jika ia hanya dipandang sepi dan tidak ditangani secara bijak maka lebih ramai rakyat akan menjadi mangsa dalam penipuan ini dan mengundang masalah kesihatan mental dan sosial.

*Eow Shinag Yen ialah Exco Majlis Belia Malaysia merangkap Timbalan Pengerusi Biro Perpaduan, Integrasi Nasional dan Kepenggunaan.