ChatGPT cabar kepintaran otak manusia

Iklan
Sememangnya aplikasi AI banyak memberikan manfaat besar kepada kehidupan manusia hari ini. - Gambar hiasan

KEMUNCULAN aplikasi ChatGPT yang berasaskan kecerdasan buatan (AI) menjadi perbualan hangat dalam masyarakat dunia kini.

ChatGPT ialah satu bot laman sembang (chatbot) yang dibangunkan oleh OpenAI berdasarkan GPT-3.5. Ia memiliki kemampuan sangat menakjubkan iaitu berinteraksi dalam bentuk dialog dan memberikan maklum balas yang mampu menjawab persoalan manusia.

Iklan
Iklan

Menerusi aplikasi chatbot, ia memudahkan pencarian maklumat dan meringkaskan aktiviti yang memerlukan kerangka berfikir kritikal seperti penulisan serta lukisan.

Sebagai contoh, seorang pelajar yang sebelum ini memerlukan masa lebih sejam untuk menyiapkan kerja sekolah kini boleh menyelesaikannya kurang daripada 15 minit dengan hanya menaip soalan yang ingin diajukan kepada teknologi berkenaan.

Iklan

Penyelesaian sama boleh digunakan oleh seorang penulis jika dia menghadapi masalah writer block sehingga mengambil masa beberapa hari untuk memerah idea bagi menghasilkan sesebuah karya.

Siapa yang tidak teruja dan tertarik dengan kemudahan teknologi tersebut kerana sifatnya yang cepat dan pantas. Ia muncul bagi menyelesaikan kesulitan dan kesukaran dalam sesuatu urusan.

Iklan

Dahulu, untuk seseorang sampai ke tempat yang hendak dituju, dia perlu menguasai kemahiran ilmu cerapan bintang bagi membantu perjalanannya. Kini, seiring teknologi yang semakin canggih, dia hanya berpandukan aplikasi Waze atau Google Maps. Capaian lokasi dapat diterima dengan begitu senang, malah ketepatannya hampir 99 peratus.

Tiada kemahiran bukanlah masalah besar kerana apa sahaja yang kita mahukan boleh kita miliki dengan hanya satu ketikan di telefon pintar. Tetapi pernahkah kita terfikir, dengan pelbagai kemudahan dan kesenangan yang dinikmati itu, ia juga membawa kepada kekurangan kemandirian?

Perkembangan sesebuah teknologi memanglah sedap didengar dan diaplikasikan tetapi jika tiada kawalan sewajarnya, ia sedikit sebanyak akan menghakis daya kreativiti serta intelektual seseorang insan.

Kembali kepada konteks aplikasi ChatGPT, kita akui ia memudahkan pencarian maklumat atau penyelesaian masalah tetapi adakah teknologi tersebut pilihan terbaik terhadap kualiti kehidupan?

Disebabkan ia mampu memberi justifikasi pantas kepada mereka yang ingin mendapatkan jawapan dengan tuntas, sudah pasti ia juga menghilangkan daya berfikir kritis terhadap diri sendiri.

Perkembangan teknologi telah banyak menggantikan pelbagai aspek kehidupan kita tetapi harus diingat, ia tidak boleh sekali-kali menggantikan kurniaan akal yang hakikatnya cukup universal dalam kehidupan kita.

Menerusi daya penggunaan akal, sesuatu maklumat yang sampai tidak terus diterima bulat-bulat, sebaliknya memerlukan pemerhatian dan analisis yang mendalam.

Kerana itu, kita sebagai manusia mampu membezakan yang benar dan salah dalam pemahaman, fakta serta auta apabila berbicara tentang informasi.

Dengan adanya daya tersebut, rencana pemikiran seseorang individu menjadi lebih tersusun dan mampu mengolah sesuatu fakta dari pelbagai sudut.

Sayang sekali jika daya semula jadi ini juga nampaknya akan pudar jika orang ramai mula berpaksikan teknologi berkenaan semata-mata dalam menjustifikasikan kesimpulan fakta dan usaha yang selama ini memerlukan kreativiti.

Penulisan ini bukan bermaksud mengajak orang ramai untuk memusuhi perkembangan teknologi, suka atau tidak, kita tidak dapat menghalangnya dan mesti beradaptasi. Bagaimanapun, jangan sampai ia mendampingi kita sehingga mengambil alih segala aspek kemandirian hidup.

Sememangnya aplikasi AI banyak memberikan manfaat besar kepada kehidupan manusia hari ini. Kita tidak dapat lari daripada mendapat tempias kesan buruknya dalam melaksanakan tugasan dan aktiviti seharian.

Jadi, sebagai insan berakal, menjadi tanggungjawab kita memanfaatkan teknologi tersebut dengan bijak dan penuh hikmah. Bukan menjadikan kita sebagai manusia yang semakin malas.

*Mohamad Amreel Iman Abd Malek ialah wartawan Sinar Harian