Perkenal semula buah nadir hampir pupus

Iklan
Mohamad (kanan) menerangkan buah yang boleh dimakan bersama colek kepada peminat colek di Singgora.

KOTA BHARU - Nam-nam, jambu nawar dan celagi antara buah nadir yang yang diperkenalkan kepada peminat buah itu melalui Festival Colek Buah di Singgora pada Ahad.

Singgora, sebuah restoran berkonsep kampung turut menyediakan enam jenis colek atau pencicah iaitu kicap lada, colek nise (gula melaka), colek cuka, serbuk asam masin, garam gula bersama lada.

Iklan
Iklan

Pemilik Singgora, Mohamad Salleh, 47, berkata, banyak buah nadir yang kini hampir pupus dan sudah tidak dikenali generasi baharu boleh dipopularkan dan dikomersialkan semula kerana ada peminatnya yang tersendiri.

Buah nam-nam dan celagi antara buah nadir yang sukar didapati.

"Antara buah yang enak untuk dimakan bersama colek ialah cermai, beberapa jenis jambu, kundang, setoi, bacang dan kuini," katanya ketika ditemui pada festival itu.

Iklan

Katanya, musim buah-buahan itu ialah pada Julai, Ogos dan September.

Tambah beliau, pelancong dari luar negara memuji buah-buah berkenaan kerana boleh dipelbagaikan dalam masakan selain dimakan bersama pencicah.

Iklan

Lebih menarik katanya, orang ramai yang menikmati colek boleh menumbuk sendiri pencicah dengan menggunakan bahan-bahan yang disediakan menggunakan lesung batu.

Jelasnya, pada zaman dahulu, masyarakat Melayu menikmati colek bersama rakan-rakan dan keluarga ketika bersantai pada waktu petang.

"Colek juga melambangkan perhubungan di antara jiran tetangga kerana masing-masing akan membawa buah-buah dan berkumpul untuk bertanya khabar selain berehat sementara menanti waktu Maghrib," katanya.

Sementara itu, peminat colek, Wan Mariam Wan Abdullah, 54, berkata, banyak buah yang sesuai dimakan sebagai colek kini sukar didapati kerana peredaran masa.

Wan Mariam (kiri) dan Ruzita memilih buah-buahan yang siap dipotong untuk dinikmati bersama colek

Dia berpendapat, colek boleh dianggap sebagai satu tradisi di negeri ini berikutan ramai peminatnya terutama sepanjang Ramadan.

"Banyak restoran kini sudah mempromosikan colek tetapi lebih moden dan dipelbagaikan termasuk colek makanan laut dan buah-buahan.

"Walaupun sukar untuk mendapatkan buah-buahan nadir namun colek tetap popular ketika Ramadan," katanya.

Wan Mariam yang lebih menggemari nanas tetap meminati buah-buah nadir kerana lebih enak dan sesuai dimakan bersama pelbagai resipi colek zaman dahulu.

Rakannya, Ruzita Abdullah, 58, pula menggemari buah nam-nam tetapi kini sukar didapati.

"Kebanyakan buah nadir hidup di kawasan pinggir hutan dan semak. Pembangunan antara faktor generasi kini tidak mengenali buah-buahan itu," katanya.

Bagaimanapun katanya, generasi baharu masih ada pilihan lain iaitu buah betik, mempelam dan nanas untuk dimakan bersama pencicah.

Peminat colek memilih buah-buahan yang disediakan semasa Festival Colek Buah di Singgora.