Klinik kesihatan malam jangan bebankan petugas

Iklan
Klinik kesihatan menjadi pilihan disebabkan kos rawatan sama ada percuma atau jauh lebih rendah berbanding klinik swasta. - Foto Bernama

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akhirnya membuat keputusan untuk akan melanjutkan waktu operasi 52 klinik kesihatan di seluruh negara bertujuan mengurangkan kesesakan khususnya di Jabatan Kecemasan Hospital.

Waktu operasi klinik itu akan dipanjangkan dari jam 5 petang hingga 9.30 malam pada hari Isnin hingga Jumaat dan dari 8 pagi hingga 12 tengah hari pada hari Sabtu. Waktu operasi dan hari bekerja juga akan disesuaikan mengikut keperluan setempat.

Iklan
Iklan

Klinik yang terbabit dalam tindakan itu adalah lapan buah di Sabah, Perak (7), Selangor (6), Melaka (6), Kedah (5), Johor (5), Negeri Sembilan (3), Sarawak (3), Perlis (2), Pulau Pinang (2), serta masing-masing satu di Pahang, Kelantan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Lanjutan waktu operasi itu adalah tepat pada masanya memandangkan kebanyakan klinik kesihatan di kawasan bandar utama berdepan masalah kesesakan yang kritikal disebabkan jumlah penduduk sekitar yang semakin bertambah.

Iklan

Terdapat klinik kesihatan yang dilaporkan menerima sehingga 1,000 pesakit sehari. Malah, ada pesakit yang sanggup datang seawal jam 6.30 pagi semata-mata untuk mendaftar dan menunggu bagi mendapatkan rawatan.

Buat masa ini, terdapat lebih 920 klinik kesihatan di seluruh negara dengan 50 peratus daripadanya terletak di bandar dan 2,000 klinik desa.

Iklan

Klinik kesihatan menjadi pilihan disebabkan kos rawatan sama ada percuma atau jauh lebih rendah berbanding klinik swasta.

Sungguhpun begitu, KKM juga tidak boleh ambil mudah pandangan pelbagai pihak yang bimbang lanjutan waktu operasi itu akan menambah beban yang perlu dipikul oleh petugas kesihatan yang sudah sedia terbeban.

KKM sepatutnya menambah kakitangan di semua klinik yang diarah beroperasi lebih masa bagi mengurangkan beban petugas sedia ada.

Isu kekurangan kakitangan dalam sektor kesihatan bukanlah perkara baharu dan ia mesti ditangani seiring pelanjutan masa operasi klinik kesihatan.

Mengikut laporan, ramai doktor dan jururawat di negara ini berhijrah ke sektor swasta atau memilih untuk berkhidmat di luar negara kerana insentif kewangan yang lebih baik.

Sementara kita menyambut baik klinik kesihatan dibuka sampai malam, kita juga tidak mahu petugas kesihatan terbeban sehingga menjejaskan kehidupan dan kesihatan mereka.