JEMPOL - Seorang isteri hilang punca pendapatan selepas suami yang sebelum ini menjadi tulang belakang keluarga disyaki dijangkiti penyakit tuberkulosis atau tibi.
Che N, 50, berkata, semuanya bermula apabila suaminya Minhat Ahmad, 62, mengalami batuk kering berpanjangan sejak tiga tahun lalu namun keadaannya semakin membimbangkan apabila mengalami batuk berdarah dalam tempoh sebulan ini
"Kalau dulu pendapatan kami bolehlah mencecah RM3,000 sebulan dengan suami bekerja sebagai pekerja kontrak bangunan tetapi semuanya berubah selepas dia jatuh sakit.
"Wang simpanan terpaksa dikorbankan dan perniagaan kedai runcit yang saya usahakan sejak 10 tahun lalu juga terpaksa ditutup kerana tak mampu lagi membuat pusingan modal," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Kampung Indah pada Ahad.
Sehubungan itu katanya, dia membuat keputusan mengambil upah dengan mengait buah sawit di sebuah ladang di Bahau sejak setahun lalu.
"Tetapi pekerjaan itu tak lama sebab saya terpaksa berhenti kerja setelah pemiliknya menjual ladang tersebut kepada pihak lain untuk tujuan pembangunan.
"Kini saya buat kerja sambilan dengan menjadi penghantar barang tetapi ia tidak dapat menampung perbelanjaan kami," katanya yang mempunyai empat orang anak dengan seorang daripadanya masih bersekolah.
Dia berkata, dua anak perempuannya sudah berkeluarga manakala anak tunggal lelakinya yang kini bekerja di Melaka banyak membantunya daripada segi kewangan walaupun pendapatannya juga tidak seberapa.
"Suami saya tidak mampu berdiri lama selain badannya agak lemah dan kerap muntah berdarah. Saya perlu membawanya mendapatkan rawatan susulan mengikut jadual selain menguruskan persekolahan anak," ujarnya.
Dalam pada itu, jelasnya dia sudah membuat permohonan bantuan kepada Baitulmal Negeri Sembilan minggu lalu dan berharap pihak berkenaan dapat menilai bantuan yang sewajarnya untuk keperluan keluarganya.
Justeru, orang ramai yang ingin memberikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga Che N boleh menghubunginya di talian 019-6332066 atau akaun bank CIMB 7629448080 atas nama Minhat Ahmad.