PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan menasihatkan seramai 10,500 guru besar dan pengetua di negara ini menilai semula agihan tugas yang diberikan kepada guru agar tidak membebankan dan mengganggu tugas hakiki guru.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, daripada kajian yang dilakukan, 25 peratus beban tugas guru dikaitkan dengan cara agihan tugas pengetua dan guru besar.
"Sekiranya 25 peratus kerja tambahan ini dapat dikurangkan, maka sudah tentu beban kerja guru akan berkurang.
Guru tidak harus dibebankan dengan kerja pentadbiran yang di luar daripada tugas hakiki, misalnya pembentukan jawatankuasa yang banyak membabitkan guru harus dilihat dan diselaraskan semula," katanya kepada Sinar Harian dalam satu temu bual khas di pejabatnya di sini.
Menurut beliau, memang diakui guru dahulu mengambil tahu semua hal ehwal berkaitan sekolah termasuk aspek pembangunan, tetapi guru sekarang mempunyai tugas yang lebih banyak memandangkan sistem pendidikan tidak lagi berorientasikan peperiksaan tetapi penilaian menyeluruh.
Katanya, pihak Kementerian Pendidikan memberi autonomi kepada sekolah untuk mencari jalan penyelesaian selain langkah berterusan yang diambil oleh kementerian bagi mengurangkan beban tugas guru.
"Sebenarnya tugas guru mempunyai dua kategori iaitu tanggungjawab profesional yang wajib dilakukan seperti buku rekod pengajaran yang mahu tak mahu memang kena buat dan juga tugasan yang berbentuk pentadbiran,” katanya.
Januari lalu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dilaporkan berkata, bebanan tugas golongan pendidik dapat dikurangkan sehingga 25 peratus menerusi pelaksanaan lima inisiatif yang telah dirangka Kementerian Pendidikan bersama Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah.
Katanya, kesemua inisiatif itu berkuat kuasa serta-merta. Ia merupakan perancangan jangka pendek yang menjadi tumpuan utama Kementerian Pendidikan pada tahun ini.