SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Lebih 30 pengamal media memenuhi pekarangan Mahkamah Sesyen di sini pada pagi Isnin bagi membuat liputan kes bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membabitkan pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram.
Malahan, ada antara petugas media tiba seawal jam 7 pagi untuk memastikan mereka tidak terlepas membuat liputan kes berkenaan.
Muhyiddin sekali lagi akan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).
Mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Pada Jumaat, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan meliputi empat menggunakan kedudukan untuk rasuah RM232.5 juta dan dua lagi pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.
Bagaimanapun, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.
Pendakwaan terbabit menjadikan beliau sebagai bekas perdana menteri kedua yang terkenal dengan panggilan 'Abah' didakwa di mahkamah atas kesalahan menerima rasuah dan pengubahan wang haram selepas Datuk Seri Najib Razak.