JOHOR Darul Ta'zim (JDT) tidak akan berhenti mencipta kemenangan dan rekod di Liga Malaysia (Liga-M) biarpun sudah mencapai banyak pencapaian membanggakan dalam aksi domestik itu.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan kemenangan itu umpama satu ketagihan sekali gus menjadi motivasi untuk dirinya terus memacu Harimau Selatan.
"Kita tidak boleh penat dalam soal kemenangan. Motivasi saya adalah kemenangan ini seperti satu ketagihan. Ia membuatkan anda mahu capai lebih banyak.
"Sebagai contoh, kami tidak kalah dalam saingan liga sebanyak tiga kali. Selepas itu, kami buat rekod jaringan selain tidak bolos.
JDT yang berstatus juara Liga Super sembilan kali berturut-turut terus bernafsu untuk mengekalkan semua kejuaraan dalam Liga-M musim ini selepas menampilkan permulaan cemerlang dalam saingan Liga Super.
Pasukan kendalian Esteban Solari itu telah meraih empat kemenangan dalam saingan Liga Super selain turut menampilkan belang mereka apabila membelasah Negeri Sembilan FC, 7-0 dan Kelantan FC 5-1.
Dalam pada itu, Tunku Ismail juga menegaskan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) akan turut menjadi keutamaan JDT sekali gus cuba mencipta kejayaan dalam kejohanan tersebut.
"Ia bukan perkara mudah, tetapi sudah tentu ideanya untuk bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia dengan pasukan gergasi dalam Asia," katanya.
Untuk rekod, JDT berjaya mara ke pusingan 16 terbaik ACL pada musim lalu sebelum langkah mereka dihentikan pasukan Jepun, Urawa Red Diamonds.