Kebebasan bersuara tak bermaksud boleh buat tohmahan, fitnah - KKD

Iklan
Nie Ching ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) tidak pernah menyekat kebebasan mana-mana individu untuk bersuara mengenai apa-apa isu termasuk politik di semua platform media sosial.

Bagaimanapun Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching menegaskan, ia tidak boleh disalah erti sebagai medium menyebarkan tohmahan atau fitnah.

Iklan
Iklan

"Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) tidak pernah menghadkan kebebasan bersuara seperti yang telah termaktub di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan selagi mana penggunaan media elektronik tidak melanggar peruntukan perundangan.

"KKD berpendirian bahawa setiap individu mempunyai kebebasan bersuara dalam berpolitik untuk menyatakan pendapat dan kritikan namun haruslah sentiasa berpegang kepada peruntukan undang-undang dan tidak melanggar norma budaya masyarakat di negara ini.

Iklan

"Kebebasan bersuara tidak membawa maksud seseorang individu boleh membuat tohmahan, fitnah, mengeluarkan kata- kata kesat atau kebencian terhadap institusi raja mahupun memperlekehkan agama atau berbaur perkauman," katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN - Alor Setar) yang meminta kementeriannya menyatakan pendirian terhadap kebebasan bersuara mengenai isu politik dalam kalangan generasi muda menerusi medium media sosial.

Iklan

Tambah Nie Ching lagi, platform media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, TikTok, Youtube dan WhatsApp menjadi trend kepada generasi muda dalam mengekspresikan idea dan kritikan khususnya berkaitan isu politik.

Bagaimanapun katanya, kebebasan bersuara yang diberikan perlu ada hadnya agar tidak menyentuh sensitiviti yang boleh menjejaskan keharmonian negara.