KUALA LUMPUR - Seorang ahli Parlimen pembangkang menyarankan supaya kerajaan melantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebagai 'mufti besar' seperti mana diamalkan di beberapa negara termasuk Indonesia.
Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) berkata, langkah itu perlu bagi membolehkan hal ehwal agama Islam diselaras dengan baik.
"Di Indonesia tidak ada masalah (dan) seluruh dunia ada mufti besar (tetapi) kita tidak ada.
"Kita hanya ada mufti dari negeri-negeri dan timbul masalah apabila menteri (agama) mengenakan syarat-syarat tertentu untuk sesuatu perkara, contohnya macam ceramah dan sebagainya," katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Isnin.
Jelasnya lagi, ketiadaan penyelaras mengenai hal agama Islam itu menimbulkan syarat yang berbeza dilakukan negeri-negeri.
Hal ini katanya, hanya akan memperlihatkan Islam dilihat 'tidak manis' oleh pihak tertentu.
"Saya kesian dekat menteri agama, dia kena cari jalan penyelesaian bagaimana hendak selaraskan masalah agama," katanya.
Media sebelum ini melaporkan dua ceramah pendakwah bebas dibatalkan susulan didapati tidak mempunyai tauliah untuk mengajar agama Islam.
Isu tauliah kembali menjadi tumpuan susulan beberapa negeri mengeluarkan arahan hanya membenarkan penceramah mempunyai tauliah sahaja boleh menyampaikan kuliah atau ceramah agama Islam.