Tengku Permaisuri Selangor rasmi Kongres Makanan Warisan 2019

Iklan

SHAH ALAM - Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Kongres Makanan Warisan 2019 di Dewan Agong Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini.

Baginda turut berkenan mengunjungi beberapa tapak pameran makanan warisan sejurus selesai majlis perasmian tersebut.

Iklan
Iklan

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UiTM, Prof Madya Dr Mohd Fozi Ali dan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling.

Kongres selama dua hari bermula hari ini yang bertemakan 'Definisi dan Identiti Makanan Warisan Melayu' itu dianjurkan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM bersama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM serta Jabatan Warisan Negara.

Iklan

Dalam ucapannya Mohd Fozi berkata, penganjuran kongres itu adalah tepat pada waktunya dengan perubahan pola pemakanan rakyat Malaysia yang bersifat global dan kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

Beliau berkata, masyarakat seharusnya berpegang kepada akar dan budaya kerana makanan adalah satu warisan tidak ketara yang melambangkan identiti bangsa."Jangan kita terlalu leka dengan nikmat hidangan antarabangsa yang terdapat di serata negara sehingga kita melupakan keindahan makanan tradisional yang menjadi amalan dan peninggalan nenek moyang kita.

Iklan

"Saya yakin kongres ini merupakan landasan terbaik untuk perkongsian ilmu, pandangan dan bersatu dalam mewujudkan wacana tentang makanan warisan kita agar ia tidak pupus ditelan perubahan dan perkembangan makanan global," katanya. - Bernama