JOHOR BAHRU - Mohd Hairi Mad Shah yang diumumkan menang jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO pada Isnin melahirkan harapan agar mereka yang kalah dalam pemilihan terus berjuang dan bersama-sama mengukuhkan parti.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor berkata, tanggungjawab dan semangat itu perlu dikekalkan bagi mengelak perpecahan dalam parti.
"Mereka yang menang, bukan menang semua dan yang kalah, tidak kalah semua. Sebagaimana yang dituntut dalam agama kita bahawa Islam membentuk kita supaya menjadi umat yang bersatu.
"Kita dituntut bukan sahaja beriman dengan Tuhan yang satu, sebarang bentuk perpecahan hendaklah kita tangani dengan sebaiknya.
"Ini seperti perintah dalam Surah Al-Anfal, ayat 46: Dan janganlah kamu bersengketa kerana dengan persengketaan akan menyebabkan kamu hilang kekuatan kamu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada Pemilihan UMNO 2023, Mohd Hairi menang jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO selepas melalui persaingan yang agak sengit.
Sementara jawatan Ketua Pemuda UMNO pula, Dr Muhamad Akmal Salleh menang selesa menewaskan pencabar terdekatnya, Mohd Shahar Abdullah.
Mohd Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin melahirkan rasa syukur dengan kemenangannya dan berazam akan terus berusaha lebih gigih bagi memastikan segala perancangan parti tercapai.
"Saya mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua perwakilan Pemuda UMNO di seluruh negara yang telah memberikan kepercayaan kepada saya sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO.
"Ironinya, genap setahun selepas saya diumumkan memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin sebagai wakil rakyat tahun lalu, hari ini secara rasminya saya diumumkan sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia," katanya.
Mandat yang diberikan katanya, akan digunakan sebaiknya untuk terus berusaha menyampaikan, melaksanakan dan apa juga yang termampu kepada Pemuda UMNO serta parti keramat tersebut.
Beliau percaya gandingannya dengan Dr Muhamad Akmal mampu memberikan keharmonian serta perubahan untuk Pemuda UMNO.